KUALA LUMPUR: Kos menunaikan haji bagi musim 1447H/2026M kekal pada RM33,300 meskipun berdepan peningkatan harga minyak dunia ketika ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, pihaknya telah mengambil kira faktor kenaikan kos bahan api itu dalam perjanjian sedia ada dengan syarikat penerbangan.
Menurutnya, perjanjian selama tiga tahun yang dimeterai bersama syarikat penerbangan, termasuk Saudia Airlines dan Malaysia Airlines membolehkan kos penerbangan dikawal dalam julat tertentu.
“Dalam perjanjian itu, kita sudah lock harga termasuk mengambil kira kemungkinan kenaikan harga minyak.
“Walaupun terdapat klausa pelarasan jika harga minyak melepasi paras tertentu, TH masih mampu menyerap kenaikan itu buat masa ini.
“Bagi tahun 1447 Hijrah, jemaah tidak perlu risau kerana kos yang diumumkan kekal dan tidak akan berubah,” katanya semasa Pengumuman Agihan Keuntungan Tabung Haji di sini, semalam.
Beliau berkata, harga minyak dunia yang melepasi paras AS$90 (RM352.01) setong sememangnya memberi kesan kepada kos operasi.
“Bagaimanapun, TH mengambil langkah pengurusan berhemah bagi memastikan beban itu tidak dipindahkan kepada jemaah.
“Memang ada peningkatan kos yang tidak dapat dielakkan, tetapi kita mampu menyerapnya tanpa menjejaskan bakal jemaah dan tiada gangguan atau perubahan kepada kos haji yang sudah ditetapkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kos haji akan disemak semula pada masa hadapan sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dan terus menekan harga minyak global.
“Ia bergantung kepada tempoh situasi itu berpanjangan. Jika berterusan dalam jangka masa panjang, kita mungkin perlu membuat semakan semula kos pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, TH memberi jaminan keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan, selain memastikan setiap keputusan yang dibuat tidak menjejaskan kepentingan pendeposit.
Mengulas lanjut, beliau berkata, situasi di Asia Barat sentiasa dipantau secara rapi melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada pendeposit dan bakal jemaah haji.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya merujuk kepada TH sebagai sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih, sekali gus mengelakkan penyebaran berita tidak tepat,” jelasnya.
Terdahulu, TH memaklumkan aset di bawah pengurusan (AUM) setakat Disember 2025 berjumlah RM98.58 bilion melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion. – UTUSAN










