Konflik Asia Barat: Rakyat Malaysia terkandas diurus, dibawa pulang

Konflik Asia Barat: Rakyat Malaysia terkandas diurus, dibawa pulang

MOHAMAD Hasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat konflik Asia Barat, termasuk mereka yang menunaikan umrah secara kendiri (DIY) telah diuruskan dan dibawa pulang.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, operasi evakuasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas itu dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MKN akan memberi nasihat kepada Kementerian Luar untuk kita menyelaras. Setakat hari ini, kita telah pun membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang di Asia Barat.

“Rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah secara DIY, semuanya pun telah diuruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Forum Ilmuwan Madani di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

MKN sebelum ini memaklumkan kerajaan Malaysia telah berjaya melaksanakan operasi evakuasi membawa pulang 170 rakyat Malaysia yang terkandas akibat konflik di beberapa negara di Asia Barat.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, setakat ini kementerian tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang menetap di sana.

“Mereka boleh kembali kalau mereka nak balik kerana penerbangan daripada negara-negara tersebut, ruang udara negara-negara tersebut telah pun dibuka dan mereka boleh balik sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, serangan Israel dan AS terhadap Iran sebagai peperangan tidak diisytiharkan dan tidak adil yang memberi kesan bukan sahaja kepada Asia Barat tetapi juga ekonomi dunia secara keseluruhan.

Mengenai pendirian Malaysia di peringkat antarabangsa, beliau berkata, suara negara telah dinyatakan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap sebuah negara merdeka.

Ditanya sama ada terdapat kapal dagang dari Malaysia yang disekat di Selat Hormuz, Mohamad berkata, tiada perkembangan baharu berikutan kawasan itu masih ditutup. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN