PETALING JAYA: Konflik di Asia Barat susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran memberikan kesan pelbagai terhadap sektor perladangan sawit dengan harga minyak sawit (MSM) meningkat sejajar dengan kenaikan harga minyak mentah.
Penganalisis Penyelidikan CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang berkata, harga MSM meningkat 9.5 peratus di Bursa Malaysia kepada RM4,428 setan sejak 27 Februari iaitu sehari sebelum konflik di Asia Barat tercetus.
Katanya, peningkatan tersebut telah memberi rangsangan kepada ekonomi biodiesel.
“Memandangkan harga MSM semasa kini melebihi unjuran kami bagi 2026 sebanyak RM4,000 setan, kami melihat risiko kenaikan kepada unjuran tersebut sekiranya konflik dan penutupan Selat Hormuz berterusan.
“Namun, walaupun harga MSM yang lebih tinggi memberi manfaat kepada syarikat perladangan, kelebihan tersebut mungkin sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan kos baja yang berkait rapat dengan harga tenaga yang lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan.
Ivy berkata, CIMB Securities menjangkakan stok minyak sawit Malaysia akan susut lapan peratus bulan ke bulan kepada 2.48 juta tan pada Mac 2026, memandangkan peningkatan eksport dianggarkan 25 peratus bulan ke bulan dijangka lebih daripada mengimbangi kenaikan pengeluaran.
“Pengeluaran minyak sawit pula diramal meningkat 12 peratus bulan ke bulan kepada 1.44 juta tan. Menurut Intertek, eksport minyak sawit meningkat 37.9 peratus bulan ke bulan kepada 622,455 tan dalam tempoh 10 hari pertama Mac 2026.
“Ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat telah melonjakkan harga tenaga dengan ketara, apabila minyak gas ICE meningkat 45 peratus kepada AS$1,089 (RM4,275.95) setan, manakala minyak mentah Brent melonjak 27 peratus kepada AS$91.9 (RM360.76) setong susulan penutupan sementara Selat Hormuz,” jelasnya.
Tambahnya, harga tenaga yang kekal tinggi untuk tempoh yang lama juga boleh melemahkan pertumbuhan ekonomi global, sekali gus berpotensi menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit.
Sementara itu, RHB Research berkata, harga minyak mentah meningkat 30.7 peratus sejak perang bermula, yang turut menaikkan harga minyak sawit pada kadar 11.6 peratus dalam tempoh yang sama.
Katanya, kaitan antara minyak mentah dengan MSM juga meningkat kepada 0.92 kali berbanding 0.43 kali pada 2025.
“Kenaikan harga ini telah mengurangkan perbezaan minyak sawit dan minyak gas (POGO) ke paras yang jauh lebih rendah iaitu sebanyak AS$19.95 (RM78.27) setong daripada AS$52 (RM204) setong pada awal tahun 2026,” katanya.
Firma berkata, dengan perbezaan yang lebih rendah sekarang, pihaknya menganggarkan dana biodiesel Indonesia akan mencukupi untuk turut membiayai B50 pada kadar cukai eksport dan levi semasa.
Katanya, hal itu dapat memberikan galakan kepada Indonesia untuk melaksanakan mandat B50 lebih awal daripada jangkaan yang mungkin memberi kesan positif buat harga MSM, kerana ia akan menarik tambahan empat juta tan bekalan minyak sawit daripada pasaran dunia.
Bagaimanapun, RHB Research melihat terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan permintaan minyak sawit terjejas berikutan penutupan laluan penghantaran laut berhampiran kawasan peperangan.
“Menurut perangkaan terbitan Oil World, negara seperti Pakistan, Mesir, Arab Saudi, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iran mungkin terjejas oleh penutupan itu dan seterusnya mungkin memberi kesan kepada sehingga 15 peratus daripada permintaan minyak sawit dunia.
“Situasi itu juga mungkin menyebabkan kos baja dan logistik meningkat memandangkan laluan air Selat Hormuz juga penting untuk keterjaminan makanan,” katanya. –UTUSAN










