Konflik Asia Barat: Kenaikan harga diesel tambah beban pekebun sayur - Utusan Malaysia

Konflik Asia Barat: Kenaikan harga diesel tambah beban pekebun sayur

TAN Chee Kiong (depan, kiri) dan pekebun sayur dalam sidang akhbar mengenai kenaikan harga diesel yang menjejaskan pekebun sayur di Gopeng hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOPENG: Pekebun sayur tempatan berdepan tekanan kos pengeluaran yang semakin meningkat susulan kenaikan harga diesel serta ketidaktentuan bekalan baja akibat konflik di Asia Barat.

Setiausaha Persekutuan Pekebun Sayur Malaysia, Tan Chee Kiong berkata, sektor pertanian amat bergantung kepada diesel dan petrol untuk operasi harian seperti pam air, generator, jentera kecil serta kerja membajak tanah.

Menurutnya, kenaikan harga diesel memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran sayur-sayuran.

“Jika harga minyak meningkat tetapi harga sayur tidak dapat dinaikkan, kos pengeluaran akan menjadi semakin berat kepada pekebun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan bekalan baja global kerana sebahagian penghantaran baja dunia melalui laluan perdagangan utama di Timur Tengah.

“Sekiranya konflik berterusan, harga baja mungkin meningkat lagi.

“Apabila minyak dan baja naik, kos pengeluaran sayur akan terus bertambah,” katanya.

Ujarnya, dalam masa sama, pekebun turut berdepan cabaran kerana sistem kawalan harga di Malaysia hanya menetapkan harga siling bagi sesetengah sayur ketika musim perayaan.

“Harga siling ada tetapi tiada harga lantai untuk melindungi petani ketika lambakan hasil,” katanya.

Menurut Chee Kiong, apabila bekalan sayur berlebihan di pasaran, petani terpaksa menjual pada harga yang lebih rendah bagi mengelakkan hasil rosak atau terbuang kerana harga sayur bergantung kepada permintaan dan bekalan di pasaran.

“Kami (Persatuan) menggesa kerajaan untuk menilai semula dasar harga bahan api khususnya bagi sektor pertanian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN