SUNGAI SIPUT: Sebuah kilang memproses bahan mineral jenis quartz secara haram digempur pihak berkuasa menerusi serbuan Op Bersepadu Khazanah di kawasan Sungai Siput di sini semalam.
Dalam serbuan itu, sebanyak 1,000 tan metrik longgokan mineral jenis quartz mentah dirampas bersama 660 beg jumbo berisi mineral sama yang telah diproses.
Turut dirampas pelbagai peralatan dan jentera yang digunakan untuk memproses bahan berkenaan dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM5.16 juta.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam operasi itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dan empat lelaki warga Bangladesh berusia 35 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, pemeriksaan di kilang berkenaan menemui sejumlah besar tanah putih (quartz) yang sedang diproses serta pelbagai mesin dan jentera yang digunakan untuk tujuan tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati kilang haram ini telah beroperasi sejak setahun lalu dan semua tangkapan serta rampasan dibuat di lokasi terbabit.
“Modus operandi kilang ini adalah dengan membeli tanah putih campuran yang diperoleh dari kawasan kuari sebelum diproses melalui kaedah menapis, mencuci, memampatkan dan
mengasingkan mineral bagi meningkatkan kualitinya.
“Setelah selesai, mineral quartz yang telah mencapai gred tinggi dijual pada harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan melibatkan lelaki warga tempatan yang merupakan pengurus tapak dijalankan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sementara itu, empat pekerja warga asing disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya. – UTUSAN










