PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyatakan hasratnya untuk kembali menyertai UMNO adalah tanpa sebarang syarat, hajat peribadi atau permintaan, sebaliknya hanya sebagai seorang ahli biasa.
Katanya, ketika politik tanah air berhadapan dengan ketidaktentuan, bahtera perjuangan UMNO yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara perlu terus diperkukuh.
“Jika ada papan yang longgar, saya akan membantu mengetatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya akan membantu memalunya. Jika ada palka yang perlu ditutup rapat agar air tidak masuk, saya akan pastikan ia terkunci kemas.
“Yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar, penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah,” katanya dalam satu hantaran hari ini.
Dalam pada itu, Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah menerima kunjungannya atas semangat Rumah Bangsa.
Khairy berkata, beliau telah secara rasmi memohon agar pemecatan keahliannya daripada UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
“Dengan jiwa besar Presiden, beliau telah menerima saya kembali ke rumah lama saya, satu-satunya rumah yang saya kenali.
“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya. – UTUSAN










