KUALA LUMPUR: Lebih 29,000 rakyat Malaysia berada di Asia Barat yang terjejas akibat daripada serangan besar-besaran Israel bersama Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bertanggungjawab untuk memelihara rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka keselamatan dapat dijamin.
Kata beliau, ramai rakyat yang terkandas disebabkan gangguan penerbangan selain dari ada yang menetap dan bekerja di rantau itu serta melancong dan pergi untuk menunaikan umrah.
“Jumlah yang besar, yang berdaftar, bertugas di Rantau Timur Tengah mencecah lebih 29,112 dari kalangan yang berdaftar dan tidak berdaftar. Paling ramai di Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Jordan.
“Kita terutama Wisma Putra sedang memantau dengan dekat, sebahagian dibantu oleh kedutaan dan menghubungi sekiranya memerlukan kerjasama untuk membawa pulang walaupun terbantut sekarang kerana penerbangan disekat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, kira-kira 55 jemaah umrah Malaysia terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang mereka ke tanah air dibatalkan pada saat akhir.
Anwar berkata, Kementerian Luar akan terus mengaktifkan bilik gerakan, memantau dari dekat dan melakukan apa yang munasabah untuk membantu mereka terkandas untuk memilih untuk pulang ke tanah air.
“Kita terutamanya Wisma Putra sedang memantau dari dekat sebahagiannya juga dibantu oleh kedutaan dan menghubungi sekiranya memerlukan kerjasama membawa pulang, walaupun terbantut sekarang kerana tersekat penerbangan.
“Penerbangan dibolehkan dari Arab Saudi tapi dari negara lain masih lagi belum mendapat kepastian,” katanya.
Sementara itu, Anwar menyeru masyarakat untuk tidak melupakan nasib rakyat Palestin terutama di Gaza.
“Sebaiknya serangan dari Israel itu dimulakan maka pintu masuk Rafah juga ditutup di bulan Ramadan ini dan menyebabkan bantuan, makanan, perubatan kepada rakyat terbantut dan keadaan mereka tentu jauh lebih gawat,” katanya.
Beliau berkata, bantuan misi kemanusiaan sudah dilancarkan pada semalam yang membawa 30 kontena milik Malaysia ke Gaza dengan muatan sebanyak lebih 334 tan bahan makanan dan kit kebersihan.
“Sumud Darat menandakan komitmen kita kerana kita dan saya bangga anak-anak kita yang tidak lentur semangat mereka untuk mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.
“Pelancaran Sumud Darat juga membuktikan bahawa solidariti rakyat melangkaui kaum agama dan latar belakang politik dan kita konsisten untuk berdiri teguh mempertahankan hak rakyat Palestin dan dalam keadaan sekarang membantu meringankan beban hidup akibat kezaliman rejim Zionis Israel,” katanya.-UTUSAN









