PETALING JAYA: Kes rompakan di sebuah kedai emas di sini membabitkan kematian suspek dalam kejadian itu dianggap selesai.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kes berkenaan dianggap selesai kerana suspek sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan pengawal keselamatan yang melepaskan tembakan semasa pergelutan dengan suspek dalam kejadian itu bagi membantu siasatan lanjut.
“Keterangan pengawal keselamatan itu sudah diambil dan kami juga sudah merakam keterangan beberapa individu lain berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.
Media semalam melaporkan, suspek yang maut ditembak ketika cubaan merompak sebuah kedai emas di sini, semalam dipercayai melakukan perbuatan itu secara bersendirian.
Shamsudin dilaporkan berkata, semakan lanjut terhadap lelaki warga tempatan itu juga mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau. – UTUSAN










