BUKIT MERTAJAM : Dua pekerja taska direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Roshayati Radellah bagi membolehkan kedua-dua suspek wanita yang berusia 22 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 8.35 pagi dengan diiringi oleh anggota polis dalam keadaan tangan yang bergari.
Bayi malang berkenaan, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri ketika dijumpai di taska terbabit sebelum disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Susulan kejadian itu, dua suspek wanita yang juga merupakan pekerja taska tersebut ditahan bagi membantu siasatan.-UTUSAN










