PUTRAJAYA: Enam saksi pendakwaan bakal dipanggil bagi perbicaraan kes amang seksual fizikal membabitkan penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, bermula hari ini di Mahkamah Sesyen, di sini.
Peguam yang mewakili Naim, Mohd Irwan Sumadi, berkata saksi pertama yang dipanggil pada prosiding pagi tadi ialah ibu kepada mangsa.
Menurutnya, mahkamah telah selesai menjalankan pemeriksaan utama terhadap saksi berkenaan dan kini berada pada peringkat pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
“Hari ini, pihak pendakwaan memanggil seorang saksi iaitu ibu kepada mangsa atau pengadu dalam kes ini.
“Pemeriksaan utama telah selesai dan kini masuk ke peringkat pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan mahkamah, di sini, hari ini.
Selain itu, Mohd Irwan berkata, jumlah saksi pembelaan bagaimanapun masih belum ditentukan setakat ini.
Dalam pada itu, Mohd Irwan memaklumkan anak guamnya berada dalam keadaan tenang sepanjang hari pertama perbicaraan yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari.
“Setakat ini, perjalanan kes adalah seperti dirancang. Beliau kelihatan tenang, ceria seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang tekanan sepanjang prosiding hari ini.
“Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis, namun tidak menolak kemungkinan tempoh itu dilanjutkan bergantung kepada situasi semasa,” katanya.
Terdahulu, Naim Daniel mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya pada pukul 8.56 pagi, 19 Mei tahun lalu.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN










