Kerjasama PPZ-MAIWP, ikhlas.com bantu ubah suai rumah asnaf

Kerjasama PPZ-MAIWP, ikhlas.com bantu ubah suai rumah asnaf

PENGURUS Besar Unit Gaya Hidup Ikhlas.com, Imran Ismail (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada ibu tunggal, Maizatul Akmal Hussain pada program Ziarah Ramadan bersama Ikhlas.com yang turut dihadiri Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat & Pemasaran Digital Pusat Pungutan Zakat, Nor Mukhshar Harun (kiri) di Gombak Setia, Kuala Lumpur di sini baru-baru ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program Makeover Rumah Asnaf yang dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) serta pembayar zakat korporat, ikhlas.com memberi sinar harapan baharu buat seorang ibu tunggal.

Rumah yang sebelum ini sebelum ini dikategorikan uzur dan mengalami pelbagai kerosakan berjaya dibaik pulih bagi memberikan persekitaran hidup yang lebih selamat dan selesa.

Seorang Ibu tunggal, Maizatul Akmal Hussain, 51, meluahkan rasa syukur dan terharu apabila kediamannya yang didiami sejak puluhan tahun lalu kini berubah wajah selepas menerima bantuan baik pulih rumah.

Maizatul berkata, dia tidak menyangka rumah yang sebelum ini berada dalam keadaan serba kekurangan kini kelihatan seperti sebuah kediaman baharu sekali gus memberi sinar baharu dalam hidupnya.

Menurutnya, dia telah menetap di rumah tersebut hampir 41 tahun, namun keadaan rumah sebelum ini agak daif dengan pelbagai kerosakan termasuk kebocoran di bahagian belakang dapur yang menyebabkan bau tidak menyenangkan.

“Rumah sebelum ini memang dalam keadaan teruk dengan kebocoran di bahagian belakang dapur. Punca air itu pun tidak pasti dari mana kerana apabila keluar sekejap, air akan bertakung dan kadangkala mengeluarkan bau busuk, berkemungkinan dari kawasan tandas.

“Bau paling kuat datang dari bahagian belakang rumah dan setiap hari saya terpaksa membersihkan serta mengelap lantai,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum
IBU tunggal, Maizatul Akmal Hussain menunjukkan kabinet dapur yang baru selepas proses baik pulih rumah pada program Ziarah Ramadan bersama ikhlas.com di Gombak Setia, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SYAKIR RADIN

Maizatul yang kini tinggal seorang diri selepas bercerai dengan suami beberapa tahun lalu berkata, kehidupan hariannya agak mencabar sehingga dia terpaksa berjimat-cermat bagi menampung perbelanjaan.

Menurutnya, dia juga bersyukur kerana turut menerima bantuan bulanan daripada MAIWP yang merangkumi Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM500 serta Bantuan Pembekal Barangan Keperluan Asasi Boost bernilai RM300, sekali gus sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan hariannya.

Tambahnya, dia pernah mencuba untuk membuat simpanan untuk membaik pulih rumah, namun simpanan tersebut terpaksa digunakan sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara tidak dijangka seperti sakit atau perlu dimasukkan ke hospital.

“Memang ada cuba menyimpan sedikit wang, tetapi simpanan itu biasanya digunakan jika berlaku kecemasan seperti jatuh sakit atau perlu masuk wad. Untuk perbelanjaan harian pula, kadangkala terpaksa berjimat-cermat sehingga terpaksa mengikat perut,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan baik pulih rumah yang diterimanya, Maizatul berkata, perasaan gembira dan terharunya sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Apabila menerima bantuan untuk membaiki rumah ini, rasa seperti tidak percaya. Betulkah ini berlaku atau saya seperti berada dalam mimpi. Saya juga sangat ingin bertemu dengan individu yang menyumbang dan membantu menjayakan semua ini,” katanya.

Sebelum
IBU tunggal, Maizatul Akmal Hussain menunjukkan ruangan bilik tidur baru yang dilengkapi dengan katil setelah proses baik pulih pada program Ziarah Ramadan bersama ikhlas.com di Gombak Setia, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SYAKIR RADIN

Menurutnya lagi, keadaan rumah yang dahulunya suram kini bertukar ceria dan memberikan semangat baharu untuk meneruskan kehidupan.

“Dulu rumah ini seperti tidak ada seri dan semangat, tetapi selepas diubah suai, suasananya terasa lebih tenang, selesa dan menggembirakan,” katanya.

Maizatul yang juga ibu kepada dua orang anak turut berharap perubahan rumah tersebut dapat menjadi sebab untuk anak-anaknya pulang menziarahinya pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya harap kali ini anak-anak dapat datang sambut raya bersama-sama di rumah ini. Sebelum ini mereka tidak pernah datang dan saya beraya seorang diri.

“Sudah hampir lima tahun saya tidak berjumpa mereka. Ibu memang sangat rindu dan tidak sabar mahu bertemu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran Digital PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun berkata, program ini melibatkan kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan PPZ-MAIWP serta pembayar zakat korporat, ikhlas.com, bagi meninjau perkembangan kediaman penerima bantuan, Maizatul Akmal Hussain.

Menurut beliau, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif ubah suai rumah asnaf yang dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan memiliki kediaman yang lebih selesa dan selamat.

“Sebelum ini kita melihat keadaan rumah Puan Maizatul yang agak usang dan selepas pertemuan terdahulu, kita merasakan terdapat keperluan untuk membantu melakukan penambahbaikan.

“Alhamdulillah, melalui sumbangan yang disalurkan oleh pihak ikhlas.com sebanyak RM13,000, keadaan rumah berkenaan kini berubah dan memberikan keselesaan yang lebih baik kepada penghuni,” katanya.

PENGURUS Besar Unit Gaya Hidup ikhlas.com, Imran Ismail (dua kanan) bersama Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat & Pemasaran Digital Pusat Pungutan Zakat, Nor Mukhshar Harun (dua kiri) melihat keadaan dapur yang telah dibaik pulih pada program Ziarah Ramadan bersama ikhlas.com di Gombak Setia, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SYAKIR RADIN

Tambah beliau, program seumpama itu secara tidak langsung memberi peluang kepada masyarakat dan syarikat korporat untuk melihat sendiri bagaimana sumbangan zakat yang mereka tunaikan memberi manfaat kepada golongan asnaf.

“Program seperti ini juga memberi gambaran kepada masyarakat di luar sana bahawa MAIWP sangat cakna dalam memastikan setiap bayaran zakat yang dibuat oleh syarikat korporat dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Menurut Nor Mukshar, PPZ-MAIWP sebagai institusi yang menguruskan pungutan zakat sentiasa mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat korporat untuk bersama-sama turun padang dan menyantuni golongan asnaf.

Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat korporat tampil menunaikan zakat kerana sumbangan tersebut bukan sahaja membantu individu, malah turut disalurkan kepada pelbagai sektor lain termasuk pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Setiap sumbangan zakat yang diterima akan diagihkan kepada asnaf yang memerlukan, bukan sahaja dalam bentuk bantuan individu, malah turut melibatkan pelbagai sektor seperti pendidikan, ekonomi dan kebajikan sosial,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa secara keseluruhan terdapat 24 program Makeover Rumah yang dilaksanakan di bawah MAIWP pada tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 program melibatkan penyertaan pembayar zakat korporat yang berada di bawah seliaan PPZ-MAIWP,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN