KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di kawasan tumpuan pelancong di ibu negara khususnya di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) akan diperketatkan menerusi rondaan pihak berkuasa serta menambah pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membendung insiden jenayah dan gangguan awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pihaknya memandang serius insiden rusuhan dan serangan terhadap dua lelaki hingga menyebabkan kecederaan di hadapan KLCC di sini minggu lalu.
“Kita akan adakan pemeriksaan mengejut dan rondaan oleh pihak penguat kuasa serta kehadiran polis akan dipertingkatkan supaya pemantauan di kawasan tersebut lebih kerap dan berkesan,” katanya ketika ditemui semasa merasmikan pelancaran KIPRUN di sini hari ini.
Menurutnya, orang awam yang menjadi mangsa gangguan perlu segera membuat laporan polis kerana tindakan itu penting bagi membantu siasatan serta membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pihak terlibat.
“Jika berlaku sebarang gangguan, laporan polis perlu dibuat segera kerana ia merupakan langkah penting untuk tindakan lanjut pihak berkuasa,” tambahnya.
Dalam pada itu, Hannah berkata, penggunaan CCTV memainkan peranan penting dalam membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang terlibat dalam aktiviti tidak sah, termasuk mereka yang beroperasi tanpa lesen.
“Saya akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperluaskan pemasangan CCTV di kawasan berkenaan dan lokasi lain yang dikenal pasti berisiko,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah itu penting bagi memastikan keselamatan pelancong terjamin serta mengelakkan sebarang insiden yang boleh mencemarkan imej negara.
“Saya ambil serius perkara ini kerana kita tidak mahu pelancong dibuli atau berasa tidak selamat sehingga boleh menjejaskan nama baik Malaysia.
“Saya memberi jaminan bahawa usaha bersepadu melibatkan rondaan dipertingkatkan serta pemasangan CCTV tambahan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan di kawasan tumpuan pelancong sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya. – UTUSAN











