KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan saman pemula bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung keabsahan pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Tambun akan diputuskan pada 18 Mac ini.
Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah daripada kedua-dua pihak.
Dalam prosiding hari ini, peguam Ranjit Singh dan Nicholas Yap bertindak bagi pihak Anwar manakala Waytha Moorthy diwakili S. Karthigesan.
Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali dari Jabatan Peguam Negara (AGC) pula bertindak selaku amicus curiae (sahabat mahkamah).
Ranjit menghujahkan bahawa Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan melarang sesuatu pilihan raya dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya.
“Saman pemula ini tidak difailkan di hadapan Hakim Pilihan Raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 33 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.
Tambah Ranjit, sebarang cabaran sedemikian mesti difailkan dalam tempoh 21 hari dari tarikh warta rasmi keputusan pilihan raya, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang mana dalam kes ini tiada petisyen rasmi difailkan dan Waytha Moorthy hanya mencampuri urusan dengan memulakan tindakan undang-undang terhadap Anwar.
Ranjit berkata, Waytha Moorthy selaku plaintif tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) yang diperlukan untuk memulakan tindakan bagi mencabar atau mempertikaikan keputusan sesuatu pilihan raya seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 34 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sementara itu, Karthigesan menyatakan bahawa Anwar telah tersalah nyata (misdirection) dengan saman pemula Waytha Moorthy dengan menyatakan bahawa plaintif hanya merungut mengenai kecacatan prosedur semata-mata.
Karthigesan berkata, afidavit anak guamnya secara nyata menghujahkan bahawa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak secara jelas menyingkirkan hilang kelayakan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
“Hujahan ini membangkitkan persoalan perlembagaan yang substantif dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja sebagai suatu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.
Pada 10 Oktober 2025, Anwar memohon untuk membatalkan saman pemula itu atas alasan ia melanggar pelbagai prosedur dan keperluan perlembagaan serta berkanun lain mandatori, yang ditetapkan untuk mencabar atau mempersoalkan keputusan pilihan raya.
Anwar berkata, saman berkenaan tidak berasas dan tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah serta menyalahgunakan proses mahkamah.
Waytha Moorthy selaku plaintif memfailkan saman pemula pada 12 Ogos 2025 bagi perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Beliau turut memohon perisytiharan bahawa pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Pada 14 Ogos 2025, AGC memaklumkan tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri.
Ia berikutan Perintah Pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-15 menyatakan bahawa Anwar telah diberikan pengampunan sepenuhnya dan dianggap sebagai seorang yang tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan.-UTUSAN










