JOHOR BAHRU: Kenaikan harga minyak global susulan konflik Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran dilihat tidak menjejaskan harga pakej pelancongan yang ditawarkan sepanjang MITM Travel Fair 2026 berlangsung.
Presiden Malaysian Chinese Tourists Association (MCTA), Patrick Law berkata, kenaikan harga minyak sehingga 20 peratus bagaimanapun dijangka memberi impak kepada pelancongan domestik dan antarabangsa, khususnya terhadap harga perkhidmatan bas persiaran dan van.
Katanya, situasi itu membimbangkan pemain industri, dan beliau berharap kerajaan mengambil inisiatif membantu sektor yang giat mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Bagi MITM Travel Fair 2026, pakej yang ditawarkan masih kekal pada harga asal kerana program ini dirancang lebih awal. Saya menggesa rakyat Johor memanfaatkan peluang ini sebelum kenaikan harga berlaku,” katanya selepas melancarkan perasmian MITM Travel Fair 2026 di Sutera Mall, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi MCTA Johor Chapter, Edwin Tay berkata, tiada pempamer menawarkan pakej ke Asia Barat kerana konflik sedang berlaku.
“Kami menasihatkan mereka menjauhi rantau tersebut buat masa sekarang berikutan ketegangan yang semakin memuncak,” katanya. – UTUSAN











