PETALING JAYA: Kerajaan digesa mengekalkan serta memperkukuh pelaksanaan subsidi bersasar khususnya bagi melindungi kebajikan kira-kira 30,000 warga kerja sektor penerbangan yang kini terhimpit dengan peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga bahan api.
Kesatuan Kebangsaan Kru Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, bantuan tersebut amat kritikal kepada golongan pekerja berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) yang menjadi tunjang utama operasi industri yang kini berdepan tekanan kewangan serius akibat ketidaktentuan ekonomi dunia.
“Permintaan berkenaan dibuat susulan lonjakan harga bahan api di pasaran antarabangsa yang meningkat mendadak sejak tercetusnya konflik peperangan di Teluk, sekali gus memberi kesan langsung kepada kos harian pekerja.
“Walaupun berdepan situasi mencabar ini, kru kabin terus menjalankan tugas seperti biasa demi memastikan operasi penerbangan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
NUFAM berkata, kenaikan harga bahan api tidak hanya isu inflasi, sebaliknya memberi kesan terus kepada perbelanjaan harian khususnya kos pengangkutan pekerja yang perlu berulang-alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
“Kerajaan mempunyai kemampuan fiskal kukuh untuk menyokong usaha tersebut, mengambil kira peningkatan hasil pendapatan negara daripada sektor minyak dan gas selaras kenaikan harga komoditi global.
“Adalah amat wajar jika sebahagian daripada lebihan hasil minyak negara dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk subsidi petrol bersasar,” kata kenyataan itu lagi.
NUFAM berkata, kegagalan menangani isu kos pengangkutan melibatkan puluhan ribu tenaga kerja berpotensi menjejaskan produktiviti serta kesejahteraan emosi pekerja di lapangan.
“NUFAM berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara berkenaan dan mengambil tindakan segera bagi memastikan keseimbangan antara kestabilan ekonomi domestik dan kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya. – UTUSAN











