PUTRAJAYA: Kemudahan TikTok Shop Live Hub yang membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka secara siaran langsung akan diperluaskan ke lebih banyak negeri.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, ketika ini terdapat empat pusat tersebut beroperasi di Kuala Lumpur, Sabah, Kelantan dan Johor.
Menurutnya, kementerian merancang untuk menambah kemudahan itu pada tahun ini termasuk di Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang selain memperluas fasiliti sedia ada di Sabah.
“Kalau boleh, setiap negeri nanti kita mahu ada sekurang-kurangnya satu Live Hub supaya usahawan tidak perlu datang jauh ke Kuala Lumpur untuk menggunakan kemudahan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tiktok Shop Bazar Raya 2026 di sini hari ini.
Jelasnya, kemudahan tersebut menyediakan pelbagai sokongan kepada usahawan termasuk studio siaran langsung, peralatan digital, latihan serta khidmat bimbingan bagi membantu mereka memasarkan produk secara dalam talian.
Katanya lagi, platform TikTok melalui TikTok Shop turut memainkan peranan dalam memperkasa usahawan tempatan apabila hampir 200,000 usahawan telah menerima latihan menerusi pelbagai program yang dianjurkan setakat ini.
Tambah Steven, inisiatif tersebut juga berjaya mencatat nilai jualan mencecah RM25 juta, sekali gus menunjukkan potensi besar platform digital dalam membantu peniaga kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan. – UTUSAN










