Kemarau ‘timbulkan’ Kampung Mong Gajah

Kemarau ‘timbulkan’ Kampung Mong Gajah

PENGUNJUNG mendirikan khemah di tengah-tengah Empangan Pedu yang kering dan merupakan perkampungan lama dikenali sebagai Kampung Mong Gajah di Pedu, Padang Terap. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Fenomena kemarau yang menyebabkan paras air Empangan Pedu menyusut memberi peluang kepada orang ramai berkhemah di tengah kawasan tasik yang sebelum ini tenggelam di dasar empangan.

Kawasan tengah tasik itu merupakan sebahagian daripada perkampungan lama dikenali sebagai Kampung Mong Gajah, yang ditenggelamkan ketika pembinaan Empangan Pedu sekitar tahun 1970-an.

Tinjauan mendapati kawasan tanah yang timbul di tengah tasik itu menjadi tumpuan pengunjung dari luar dan sekitar Kedah untuk berkhemah, memancing dan merasai pengalaman berada di lokasi yang jarang dapat dilihat ketika paras air empangan berada pada tahap normal.

Selain aktiviti riadah, terdapat juga waris penduduk asal kampung itu mengambil peluang menziarahi tanah perkuburan lama yang kembali kelihatan selepas sekian lama berada di dasar tasik.

Tanah perkuburan berusia lebih 100 tahun itu menjadi tempat pengebumian penduduk Kampung Mong Gajah dan beberapa kampung berhampiran sebelum kawasan itu ditenggelamkan.

Seorang pengunjung, Hafizudin Ihsan, 44, berkata, fenomena penyusutan air itu bukan sahaja membuka kembali sejarah perkampungan lama, malah menjadi tarikan unik kepada pengunjung yang ingin melihat sendiri sisa-sisa kawasan penempatan lama yang jarang didedahkan.

Katanya, dia bersama beberapa rakan mengambil peluang berkhemah di kawasan itu selepas melihat gambar keadaan empangan yang surut di media sosial.

“Memang pengalaman berbeza sebab biasanya kawasan ini semuanya air. Bila kemarau, baru nampak tanah luas macam padang. Kami datang berkhemah satu malam sambil memancing,” katanya ketika ditemui.

Empangan Pedu merupakan antara empangan utama di Kedah yang membekalkan air bagi kegunaan domestik dan pengairan pertanian di Kedah, Perlis serta Pulau Pinang.

Namun ketika musim kemarau berpanjangan, paras airnya boleh menyusut sehingga mendedahkan kawasan yang sebelum ini tenggelam di dasar tasik.

Sementara itu, salah seorang waris, Md. Daud Ahmad, 67, yang tinggal di Kampung Pinang berkata, kubur lama itu mula timbul sejak minggu lalu dan memberi peluang kepada waris menziarahinya terutamanya generasi muda.

“Pada Ogos 2023, satu majlis tahlil dan kenduri pernah diadakan oleh waris penduduk berdekatan kubur ini ketika air tasik betul-betul kering sehingga kita dapat berjalan kaki atau menaiki kenderaan ke sana.

“Tujuan majlis itu diadakan sebagai memperingati kewujudan kampung ini dan kubur itu yang menjadi tempat nenek moyang kami dikebumikan ratusan tahun lalu. Alhamdulillah tahun ini kami berpeluang berkunjung lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN