KAHERAH: Premis perniagaan, restoran dan kafe di seluruh Mesir diarah mengehadkan waktu operasi dengan ditutup lebih awal sebagai sebahagian daripada langkah kecemasan bagi menangani lonjakan harga tenaga akibat peperangan melibatkan Iran.
Bermula Sabtu ini, sektor peruncitan dan premis makanan diwajibkan tutup seawal pukul 9 malam waktu tempatan setiap hari bagi tempoh sebulan akan datang.
Menurut Perbadanan Penyiaran British (BBC), langkah luar biasa yang diperkenalkan oleh kerajaan Mesir itu turut merangkumi pengecilan penggunaan lampu jalan dan papan iklan gergasi selain arahan bekerja dari rumah selama sehari seminggu bagi kebanyakan sektor sepanjang bulan April.
Mesir terkesan teruk akibat konflik di Asia Barat dan sekatan berkesan di Selat Hormuz, yang merupakan laluan perkapalan utama bagi bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG).
Harga komoditi global itu melonjak mendadak sejak bekalan minyaknya melalui laluan air itu terhenti hampir sepenuhnya, sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap kesan rantaian kepada harga makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain.
Walaupun Mesir tidak terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut, pergantungan negara itu kepada bahan api import menjadikannya sangat terdedah kepada gangguan bekalan.
Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly pada Sabtu memaklumkan bahawa import petrol negara itu sahaja telah meningkat lebih dua kali ganda daripada AS$1.2 bilion (RM4.82 bilion) pada Januari kepada AS$2.5 bilion (RM10 bilion) pada Mac.
Bagaimanapun, sektor perhotelan dan pusat pelancongan akan dikecualikan daripada langkah penjimatan tenaga ini.
Ini kerana industri pelancongan menyumbang kira-kira satu persepuluh kepada ekonomi Mesir.
Beberapa hotel terkemuka di Kaherah, termasuk Marriott dan Cosmopolitan, memberitahu agensi berita RFI bahawa mereka telah menyediakan generator sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan elektrik.
Kedua-duanya juga akan memastikan restoran hotel kekal dibuka untuk tetamu tanpa tertakluk kepada waktu penutupan premis awam.
Dalam pada itu, pekerja dalam sektor perkhidmatan penting seperti hospital, sekolah dan kilang dikecualikan daripada arahan bekerja dari rumah.
Sejak Iran mula mengancam untuk menyerang kapal yang melalui Selat Hormuz, sebahagian besar aktiviti perkapalan antarabangsa di kawasan sempit itu terhenti. Lazimnya, sekitar 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia disalurkan melalui laluan tersebut.
Terdahulu, kerajaan Mesir telah menaikkan harga petrol dan tambang pengangkutan awam bagi mengehadkan kesan konflik terhadap kewangan awam negara.
Memetik laporan Reuters, kerajaan juga akan memperlahankan pelaksanaan projek-projek besar yang menggunakan tenaga tinggi serta memotong elaun bahan api kenderaan kerajaan sebanyak hampir satu pertiga. – AGENSI










