Kebakaran musnah persiapan raya - Utusan Malaysia

Kebakaran musnah persiapan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegembiraan menyambut Aidilfitri bertukar duka apabila tiga buah rumah di Kampung Plentong Baru, di sini, musnah dalam kebakaran 10 pagi tadi.

Seorang mangsa, Daim Mardi, 58, berkata, beliau hanya mengetahui kejadian tersebut selepas menerima panggilan jiran kira-kira pukul 10 pagi ketika sedang bekerja di sebuah pasar raya di sini.

Menurutnya, ketika kebakaran berlaku, rumahnya kosong kerana isterinya membawa anak mereka yang berusia sembilan tahun pulang ke rumah keluarga di Taman Daya.

“Saya tinggal bersama isteri, seorang anak dan adik. Semua persiapan raya termasuk pakaian baharu musnah. Rumah ini sudah lebih 30 tahun didiami, malah baru sahaja diubah suai dengan kos lebih RM20,000 dua tahun lalu.

“Sekarang saya pun tidak tahu hendak tinggal di mana,” katanya kepada Utusan ketika ditemukan di tempat kejadian, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Siti Rozana Ibrahim, 43, pula berkata, ketika kejadian berlaku dia berada di rumah bersama suami, adik serta anaknya yang berusia 18 tahun.

“Saya sedang mengopek bawang sebelum adik ipar tanya adakah sesuatu sedang terbakar di belakang rumah, rupa api sudah marak dari rumah jiran.

“10 pasang baju raya serta berbalang kuih yang telah disediakan hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Mohd. Faiz Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 11.41 pagi.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran tersebut melibatkan melibatkan tiga buah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan keseluruhan 60 darab 100 kaki persegi. Kebakaran turut melibatkan sebuah kereta dan sebuah jentera,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN