IPOH: Kerajaan negeri memberi jaminan kebajikan tiga ekor gajah dari Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang dihantar ke sebuah zoo di Jepun akan sentiasa dipantau bagi memastikan haiwan berkenaan berada dalam keadaan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, penghantaran tiga ekor haiwan ke Tennoji Zoo di Osaka merupakan kerjasama yang telah dibincangkan pada tahun 2022 setelah pihak zoo tersebut menyatakan minat untuk memiliki gajah dari Malaysia.
Katanya, perkara itu kemudian diselaraskan melalui Zoo Taiping dan Night Safari bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memandangkan hidupan liar berada di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
“Sepanjang beberapa tahun ini, beberapa kali perbincangan termasuk lawatan ke Tennoji Zoo telah dijalankan oleh Perhilitan untuk membuat penilaian dan memastikan keadaan di sana adalah bersesuaian.
“Malah, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani yang membawa kepada penghantaran gajah tersebut,” katanya ketika ditemui selepas edaran bubur lambuk oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon.
Menurut Sandrea Ng, berdasarkan maklumat oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT), ketiga-tiga gajah tersebut telah selamat tiba di Osaka baru-baru ini.
Katanya, sekitar April depan wakil daripada Zoo Taiping dan Night Safari akan mengadakan lawatan ke zoo di Osaka bagi melihat keadaan gajah yang dihantar selain menandatangani MoU seterusnya.
“Kerjasama ini bersifat dua hala apabila selepas penghantaran gajah berkenaan, pihak Zoo Taiping juga dijangka menerima haiwan daripada zoo di Osaka.
“Pertukaran haiwan ini adalah bagi memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya.
Tambah beliau, pihak Zoo Taiping dan Night Safari dan Perhilitan akan sentiasa memastikan dari segi aspek kebajikan haiwan itu dijaga dengan baik.
Terdahulu media melaporkan reaksi sedih dan kebimbangan orang ramai mengenai penghantaran haiwan tersebut ke Jepun.
Rata-rata mereka mempersoalkan aspek keselamatan, kebajikan dan kesesuaian haiwan itu menyesuaikan diri dengan cuaca serta persekitaran baharu di negara berkenaan. – UTUSAN










