Kanak-kanak rentung dalam kebakaran PPR Kg. Muhibbah

Kanak-kanak rentung dalam kebakaran PPR Kg. Muhibbah

MAYAT kanak-kanak maut ditemukan dalam kebakaran PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, petang ini. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT JALIL: Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kebakaran sebuah unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Bukit Jalil di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi, mangsa, yang merupakan kanak-kanak lelaki berbangsa India Muslim berusia empat tahun, ditemukan tidak bernyawa dalam sebuah bilik di kediaman berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada pukul 2.59 petang, sebelum menggerakkan jentera ke lokasi kejadian.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Azizi Abdullah berkata, seramai 13 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jalil serta BBP Sri Petaling dikejarkan ke tempat kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah unit rumah di tingkat 10 bangunan tersebut.

“Tindakan pemadaman segera dilaksanakan menggunakan satu aliran salur bantu mula dari bangunan dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.17 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Azizi berkata, keluasan kebakaran dianggarkan mencecah 20 kali 40 kaki persegi dengan peratusan kemusnahan unit tersebut adalah sekitar 80 peratus.

Difahamkan, ibu mangsa berada di lokasi ketika kebakaran berlaku. Walau bagaimanapun, status sama ada dia sempat menyelamatkan diri atau sebaliknya belum dapat dipastikan dan sedang dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.

Sehingga kini, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan bomba. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN