PETALING JAYA: Jejaka yang dikaitkan dengan pelakon Emma Maembong iaitu DJ Kidd, mencuri perhatian ramai apabila memuat naik kenyataan yang memberi bayangan hubungan mereka kini berdepan keretakan.
Menurut lelaki tersebut, dia mula berasa kurang selesa apabila sering ditanya mengenai keberadaan pasangannya sekali gus mendorongnya berkongsi penjelasan di aplikasi Threads bagi menamatkan persoalan orang ramai.
“Di sini saya ingin memaklumkan bahawa di mana sahaja saya berada, orang sering bertanya di manakah pasangan saya.
“Saya ingin memberitahu bahawa kami tidak lagi bersama. Jadi saya harap selepas ini tiada lagi persoalan,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Dakwaan mengenai keretakan hubungan itu semakin kuat apabila DJ Kidd turut menitipkan pesanan bahawa dia akan terus mendoakan kebahagiaan pasangannya itu bersama pilihan hatinya pada masa depan.
“Saya akan terus mendoakan kebahagiaan dia bersama sesiapa juga yang dipilihnya,” tulisnya sambil menyertakan tanda pagar #Mamaktakkanpadam, yang dipercayai merujuk kepada gabungan nama mereka berdua.
Walaupun tidak mendedahkan siapakah individu yang dimaksudkan, namun rata-rata warga maya mengaitkan hantaran itu untuk pelakon, Emma Maembong.
Sebelum ini, hubungan rapat antara Emma dan DJ Kidd menjadi perhatian ramai selepas pelakon itu mengesahkan sedang mengenali hati budi jejaka itu namun enggan terlalu membicarakan hal itu kepada umum.
Terdahulu, pasangan itu turut dilihat hadir bersama di Anugerah Melodi Terhangat 2025. Malah Emma yang pernah menjalani penggambaran sebuah video muzik turut meluangkan masa mengunjungi DJ Kidd yang membuat persembahan di sebuah kelab malam di Sarawak, bulan lalu. -UTUSAN










