KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan curi dan klon identiti kenderaan berstatus kerugian menyeluruh atau total loss dengan menahan 12 individu termasuk dua wanita dalam serbuan di enam negeri, minggu lalu.
Operasi Lejang Mewah Klon bermula 12 hingga 15 Mac lalu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hasil risikan selama lima bulan berkaitan kegiatan itu di Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.
Pengarah JSJ, Datuk M. Kumar berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 33 hingga 60 tahun itu terdiri daripada lapan pembeli, dua orang tengah masing-masing seorang pemilik kenderaan terpakai dan pemilik syarikat kereta sewa yang dikehendaki atas kesalahan curi kenderaan di Singapura.
Katanya, sebahagian mereka berperanan sebagai pembeli serta penjual kenderaan klon.
Beliau berkata, polis merampas tiga Toyota Vellfire, Toyota Estima (2), Toyota Corrolla Altis (2), Toyota Harrier (1); Mazda 3 (1), Honda City (1), Honda City Hatchback (1) dan Toyota Camry (1) dianggarkan bernilai RM1.1 juta.
“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket dengan menggunakan identiti kenderaan total loss diklonkan kepada kereta dipercayai dicuri.
“Sindiket itu turut memanipulasikan data pendaftaran kenderaan serta menggunakan nombor pendaftaran baharu bagi mengelakkan pengesanan.
“Kenderaan terbabit kemudian dijual kepada orang awam melalui rangkaian penjual kenderaan terpakai dan individu persendirian dengan harga lebih rendah kira-kira 50 hingga 60 peratus daripada harga pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, empat kenderaan dipercayai dicuri di Singapura dan diseludup masuk ke Malaysia.
Ujarnya, lapan daripada kenderaan dirampas mempunyai Sijil Pemilikan Kenderaan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Hasil pemeriksaan forensik dijalankan ke atas lapan kenderaan mendapati kesemua kenderaan telah diubai suai pada nombor casis dan nombor enjin bagi menyembunyikan identiti sebenar.
“Dua nombor casis berjaya ditimbulkan semula dan salah satu disahkan sebagai kenderaan yang dilaporkan hilang melalui laporan polis di Genting Highlands,” katanya.
Kumar berkata, kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 378A Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian penuh kegiatan jenayah ini termasuk mengesan kenderaan lain dipercayai telah diklonkan.
“Kita percaya kegiatan ini mempunyai rangkaian lebih luas melibatkan beberapa negeri di negara ini termasuk tidak menolak kemungkinan penglibatan orang dalam,” katanya. – UTUSAN










