IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak memantau 34 kawasan blackspot yang dikenal pasti berisiko tinggi berlakunya kemalangan, sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) bermula hari ini hingga 29 Mac depan.
Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, kesemua lokasi berkenaan berada di tujuh koridor penguatkuasaan iaitu di daerah Kinta, Manjung, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak (Gerik), Hilir Perak (Teluk Intan), Batang Padang (Tapah) dan Kuala Kangsar.
Katanya, ‘point of duty’ juga telah ditetapkan di setiap koridor bagi memastikan anggota yang bertugas dapat melakukan ‘snap check’ ke atas kenderaan semasa rondaan pada kelajuan 70 kilometer sejam.
“Aktiviti penguatkuasaan dijalankan di laluan utama dan kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘blackspot’ bagi memastikan tahap pematuhan pengguna jalan raya dapat dipertingkatkan.
“Pendekatan ini juga bertujuan meningkatkan tahap persepsi akan ditangkap (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya supaya mereka lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, sepanjang HRA dilaksanakan, JPJ Perak memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama iaitu tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.
Katanya, turut diberi perhatian ialah tidak memakai tali pinggang keselamatan atau topi keledar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, membawa lebihan muatan dan berbahaya.
“Selain itu, penguatkuasaan tegas akan dijalankan ke atas kenderaan perkhidmatan awam dan perdagangan termasuk pemantauan pematuhan syarat lesen pengendali serta tahap perkhidmatan yang ditetapkan.
“Operasi khas terhadap penunggang motosikal di laluan-laluan yang dikenal pasti juga akan dilaksanakan, memandangkan golongan tersebut mencatatkan kadar kemalangan maut yang tinggi setiap tahun,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sebanyak 9,684 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara dalam Operasi Tahun Baharu Cina pada 13 hingga 22 Februari lalu.
“Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1,802 kes berbanding 7,882 kes pada tahun 2025,” katanya. – UTUSAN










