JPJ P.Pinang halang bas teruskan perjalanan kerana tayar rosak

JPJ P.Pinang halang bas teruskan perjalanan kerana tayar rosak

ZULKIFLY Ismail (kiri) menunjukkan kertas kuning yang dilekatkan pada bas yang telah diperiksa oleh JPJ dalam Ops HRA di terminal bas Penang Sentral, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Sebuah bas ekspres dihalang daripada meneruskan perjalanannya ke Kuantan, Pahang selepas pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mendapati, tayar kenderaan itu hampir rosak akibat tertusuk sebatang paku yang besar.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan menuju ke terminal bas di Penang Sentral di sini.

Sehubungan itu katanya, pemandu bas terbabit diminta supaya menukar tayar bas terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Kami membuat pemeriksaan ini bagi memastikan bahawa para pemandu sentiasa peka terhadap keadaan bas yang dipandu manakala para penumpang pula sentiasa menjaga keselamatan mereka dengan memakai tali pinggang keledar.

“Selain itu, JPJ turut menempatkan anggota-anggota penguat kuasa mereka di dalam bas-bas yang tertentu bagi memantau tahap pematuhan serta mengambil tindakan terhadap para pemandu yang melanggar peraturan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya JPJ Pulau Pinang di terminal bas Penang Sentral di sini, malam tadi. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, sejak operasi itu bermula pada 13 Mac lalu, tahap pematuhan dalam kalangan pengusaha bas serta pemandu adalah tinggi dan tiada sebarang kesalahan dikesan ketika operasi penyamaran dijalankan.

Justeru, beliau mengingatkan para pemandu serta penumpang bas untuk terus mengutamakan keselamatan sepanjang tempoh perjalanan ketika musim perayaan ini dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Zairil memberitahu, selain JPJ, operasi yang dijalankan secara bersepadu merangkumi pemeriksaan tayar, enjin, tali pinggang keledar serta dokumentasi itu turut melibatkan beberapa agensi lain termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Keutamaan kita ialah untuk mengurangkan kadar kemalangan semasa di jalan raya termasuk kemalangan maut dengan sasaran pengurangan sebanyak 10 peratus tahun ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN