TANAH MERAH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menafikan dakwaan tular yang mengaitkan kemalangan maut di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli dekat Kampung Rahmat, Bukit Bunga, di sini semalam berpunca daripada tindakan anggotanya mengejar sebuah lori.
Pengarahnya, Mohd. Misuari Abdullah berkata, semasa kejadian, anggota jabatan itu sedang melaksanakan rondaan rasmi sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2026 dan mematuhi prosedur operasi serta peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
Menurutnya, video berdurasi 34 saat yang tular di media sosial yang mendakwa kejadian itu berpunca daripada tindakan mengejar lori adalah tidak benar serta tidak berasas.
“JPJ Kelantan memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan orang ramai dan menjejaskan reputasi jabatan.
“Kenderaan jabatan pada ketika itu sedang melaksanakan rondaan rasmi dan bukan terlibat dalam sebarang aksi mengejar seperti didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Misuari memberitahu, siasatan lanjut berhubung kemalangan berkenaan kini berada di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, JPJ meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga siasatan lengkap dijalankan.
Misuari berkata, JPJ menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa yang terlibat serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Semoga roh mangsa dicucuri rahmat dan kepada yang cedera, didoakan agar segera sembuh.
“JPJ akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berintegriti dan berhemah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan jenazah anak kepada editor kanan Astro Awani yang maut dalam kemalangan di Kilometer 85.5, Jalan Kota Bharu–Machang–Jeli di sini akan dikebumikan hari ini.
Jenazah Mursyid Azmi, 25, yang merupakan anak kepada Husna Yusop akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gua Mesa, Rantau Panjang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa yang memandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jeli.-UTUSAN










