PARIT: Penggunaan jentera kecil yang tidak lagi sesuai untuk kerja-kerja sawah padi terutama membajak, mendorong seorang pesawah di Parit 13, Titi Gantung, Bota Kiri dekat sini meningkatkan keupayaan kerja bagi mempercepat operasi pertanian.
Mohd. Shahril Mat Desa, 59, berkata, sebelum ini dia berdepan kekangan apabila hanya menggunakan traktor bersaiz kecil yang menyebabkan kerja-kerja di sawah perlahan.
Menurutnya, dia memohon pinjaman daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) untuk membeli jentera pertanian lebih besar, namun permohonan pertama tidak berjaya.
“Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan membuat permohonan kali kedua sebelum akhirnya diluluskan oleh Perak SADC.
“Kini sudah tiga tahun saya menggunakan traktor yang dibeli menggunakan pinjaman daripada Perak SADC. Kerja-kerja sawah menjadi lebih cepat dan mudah berbanding sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Shahril yang mengusahakan sawah sejak zaman persekolahan berkata, perubahan penggunaan jentera moden banyak membantu meningkatkan kecekapan kerja.
Tambahnya, bantuan pinjaman daripada Perak SADC turut membuka peluang untuk mendapatkan sebuah lagi traktor menerusi pinjaman bank.
“Saya kini mempunyai dua traktor dan mula menggunakan jentera baharu yang saya beli menerusi pinjaman bank sejak sebulan lalu.
“Kedua-dua traktor ini digunakan untuk mengusahakan sawah seluas kira-kira 80 hektar, selain saya juga mengambil upah membajak tanah pesawah lain,” katanya.
Menurut Mohd. Shahril, kemudahan pinjaman yang disediakan Perak SADC bukan sahaja mempercepatkan kerja-kerja sawah, malah membantu meningkatkan pendapatan melalui hasil padi dan perkhidmatan membajak.
“Bantuan ini amat bermakna kepada pesawah seperti saya dalam memodenkan operasi pertanian. Selain kerja menjadi lebih mudah, hasil padi juga meningkat,” katanya.
Bantuan kerajaan negeri itu menepati pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Perak Tengah dengan tumpuan utama antaranya ialah pertanian.
Ia juga menepati flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat. – UTUSAN










