KUALA LUMPUR: Pelakon, Adam Shah mendedahkan sikap seorang rakan industri yang sebelum ini memberi janji palsu apabila berkongsi perancangannya untuk menyenaraikan Adam sebagai salah seorang pelakon dalam sebuah filem yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.
Lebih mengecewakan apabila perancangan itu dimaklumkan selepas individu terbabit menyuarakan hasrat untuk meminjam wang dari pelakon berkenaan.
“Ada seseorang dalam industri, ada nama. Tahun lepas ada dia bagi tahu hasrat dia nak meminjam sejumlah wang dari aku. Waktu tu dia tengah usaha pitch satu filem.
“Dia janji nak ambil aku berlakon dalam filem itu. Tapi aku cakap, kalau ada rezeki aku.. Insya- Allah.
“Sekarang filem itu, sudah nak mula penggambaran. Tapi senyap sahaja, aku anggap dia terlupa,” kongsinya dalam Thread.
Adam atau nama sebenarnya Nor Shah Azli Abdol Ghani berkata pengalaman tersebut membuatkan dia tidak mudah memberi kepercayaan terhadap janji orang industri selagi tidak direalisasikan.
“Sebab tu aku selalu pesan dengan sahabat-sahabat aku dalam industri seni, jangan percaya janji-janji manis ini. Kau sudah tanda tangan kontrak pun belum tentu kau ada dalam projek itu,” kongsinya lagi. – UTUSAN










