Jambatan Wan Jamilah hadiah Aidilfitri penduduk Chatel Damai

Jambatan Wan Jamilah hadiah Aidilfitri penduduk Chatel Damai

WAN Nur Ibtisam Wan Ismail (kiri) menyerah dokumen perakuan siap kerja kepada Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Wan Muhd. Rahimi Wan Salleh selepas majlis penyerahan Jambatan Wan Jamilah di Kampung Chatel Damai, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Pembinaan Jambatan Wan Jamilah yang menggantikan jambatan gantung runtuh sebelum ini disifatkan sebagai hadiah Aidilfitri paling bermakna buat penduduk Kampung Chatel Damai di sini selepas bertahun-tahun berdepan kesukaran untuk berulang-alik.

Jambatan baharu sepanjang 36 meter itu kini boleh dilalui kenderaan seberat bawah lima tan metrik sekali gus memudahkan urusan harian penduduk, khususnya pemilik kebun untuk mengangkut hasil pertanian keluar dari kampung.

Wakil penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 53, berkata, pembinaan jambatan tersebut membawa kelegaan besar kepada masyarakat setempat selepas sekian lama terpaksa menggunakan jambatan gantung yang uzur dan berisiko.

Katanya, penduduk sangat bersyukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan pembinaan jambatan baharu itu selepas kejadian runtuhan jambatan lama.

“Sudah lama kami idamkan jambatan baharu. Saya juga tidak menyangka peristiwa jambatan gantung runtuh ketika majlis pernikahan anak saya akhirnya membawa rezeki kepada seluruh penduduk kampung apabila kerajaan meluluskan pembinaan jambatan baharu.

“Alhamdulillah, sekarang kereta sudah boleh melalui jambatan ini. Terima kasih Perdana Menteri kerana cakna dan prihatin terhadap nasib penduduk di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan penyerahan jambatan tersebut yang disempurnakan oleh Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan, Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.

Wan Syukri berkata, kewujudan jambatan baharu itu juga membolehkan anak-anak serta cucu yang pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman berasa lebih selamat dan selesa tanpa perlu melalui jambatan gantung yang berbahaya.

Katanya, Jambatan Wan Ja­milah itu turut dilengkapi pelbagai ciri keselamatan termasuk penghadang besi di kedua-dua sisi serta lampu jalan bagi memastikan keselamatan pengguna terutama pada waktu malam.

Sementara itu, Wan Nur Ibtisam berkata, pembinaan jambatan keluli berkenaan menoktahkan rintihan penduduk yang berdepan masalah perhubu­ngan sejak lebih tiga dekad lalu.

Katanya, ia mampu memberi manfaat kepada lebih 50 penduduk melibatkan tujuh buah rumah selain menjadi laluan utama ke kebun bagi penduduk setempat.

“Pembinaan jambatan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan infrastruktur berkualiti terus diperkasa demi kesejahte­raan rakyat,” katanya.-UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN