PETALING JAYA: Penganjuran acara Tidur Lambak yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini di Ipoh, Perak disaran dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berautoriti serta dilaksanakan mengikut garis panduan syarak.
Jabatan Mufti Negeri Perak berkata, pihaknya mengambil maklum penganjuran program berkonsepkan tidur beramai-ramai secara santai oleh Tapir Studio yang diinspirasikan daripada budaya masyarakat Malaysia, khususnya suasana balik kampung.
Menurut kenyataan itu, acara berkenaan dilihat bertujuan menghidupkan semula pengalaman budaya lama dalam pendekatan moden, selain menggalakkan hubungan sosial serta memberi peluang kepada individu merasai pengalaman tersebut.
“Secara dasarnya, jabatan ini tidak membantah keseluruhan aktiviti yang dirangka. Namun, ia perlu diteliti dengan saksama dengan mengambil kira elemen syarak dan adat Melayu agar tidak mengundang fitnah terhadap agama Islam serta mengabaikan nilai akhlak dan budaya.
“Situasi itu boleh mengundang perkara bercanggah dengan syarak seperti kesukaran menjaga pandangan, pendedahan aurat serta sentuhan antara bukan mahram yang perlu dielakkan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan syarak dalam kehidupan bertujuan menjaga kemaslahatan manusia dan bukan untuk menyempitkan ruang sosial, sebaliknya sebagai panduan bagi memelihara maruah serta nilai diri.
Katanya walaupun acara tersebut mengetengahkan konsep ketenangan dan nostalgia, kebimbangan utama adalah kemungkinan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram secara terbuka.
“Jabatan menasihatkan penganjur supaya memperhalusi pelaksanaan program tersebut dan merujuk kepada pihak berautoriti termasuk jabatan mufti serta jabatan agama Islam negeri bagi memastikan ia mematuhi garis panduan syarak.
“Tiada larangan untuk beraktiviti dan berekreasi, namun ia perlu selari dengan panduan syarak agar matlamat program tercapai tanpa menjejaskan nilai kemuliaan manusia,” katanya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Tapir Studio, acara Tidur Lamba’ merupakan pengalaman imersif berasaskan rehat yang sebelum ini pernah dipersembahkan di Kuala Lumpur dan Jakarta sebelum dibawa ke Ipoh.
Program tersebut berlangsung di sebuah bekas kilang papan di Bukit Merah yang diubah menjadi ruang ala kampung dengan susunan tikar dan toto bagi menghidupkan suasana tidur beramai-ramai seperti tradisi balik kampung. – UTUSAN











