PETALING JAYA: Integriti perlu menjadi tunjang utama dalam setiap lapisan warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air serta memelihara keamanan negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, setiap anggota tentera perlu terus berkhidmat dengan penuh profesionalisme demi memastikan Malaysia kekal aman dan berdaulat.
Seri Paduka sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa dan pengorbanan seluruh warga tentera darat dalam mempertahankan kedaulatan tanah air serta memelihara keamanan negara.
“Nilai integriti juga hendaklah menjadi tunjang utama dalam setiap lapisan warga pasukan itu, selain terus berkhidmat dengan penuh profesionalisme demi memastikan Malaysia kekal aman dan berdaulat.
“Al-Fatihah buat para anggota serta veteran yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran Facebook Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat ke-93 kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia serta para veteran yang menabur bakti kepada negara.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, TDM terus memainkan peranan sebagai tonggak utama dalam memastikan keselamatan serta keutuhan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Katanya, angkatan itu telah menggalas tanggungjawab besar mempertahankan tanah air dengan penuh komitmen berteraskan disiplin tinggi, kecekapan operasi dan nilai integriti yang kukuh.
“Sejak penubuhannya 93 tahun lalu, Tentera Darat Malaysia terus memikul amanah mempertahankan kedaulatan negara dengan penuh dedikasi, berteraskan disiplin, profesionalisme serta integriti yang menjadi tunjang kekuatan angkatan.
“Meskipun berdepan pelbagai cabaran, termasuk yang berlaku baru-baru ini, Tentera Darat Malaysia kekal teguh sebagai benteng utama pertahanan negara.
“Kementerian Pertahanan komited memperkukuh keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia sebagai komponen utama Angkatan Tentera Malaysia, selaras usaha membina Angkatan Masa Hadapan yang lebih tangkas, berdaya tahan dan disegani,” katanya.











