KOTA BHARU: Penyanyi Bea Sobar Bea, Eda Ezrin menyifatkan Syawal tahun ini sebagai paling bermakna apabila dapat menyambut Aidilfitri bersama suami dan anak-anak, selepas melalui episod hitam terpaksa berhari raya di dalam penjara di Thailand, tahun lalu.
Mengimbas detik sukar itu, Eda atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail berkata, Ramadan dan Syawal tahun lalu, kekal jadi kenangan tidak mungkin dilupakan apabila dia dan suami terpisah daripada keluarga selama sembilan bulan di Penjara Wilayah Narathiwat.
Namun, takdir menyebelahi dirinya apabila Aidilfitri kali ini membuka lembaran baharu penuh kebahagiaan selepas kembali ke pangkuan keluarga.
“Alhamdulillah, selepas semua yang berlaku, saya dan suami akhirnya dapat bersama anak-anak dan keluarga untuk menyambut hari raya.
“Syawal kali ini benar-benar membawa makna besar buat kami. Saya sangat bersyukur,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Menurutnya, kemeriahan Aidilfitri tahun ini terasa berbeza apabila dapat kembali menikmati suasana lebaran yang sekian lama dirindui.
Malah, juadah tradisi seperti nasi dagang, ketupat dan rendang menjadi simbol kegembiraan sederhana yang cukup bermakna buat dirinya.
“Tahun ini saya beraya di Kota Bharu bersama keluarga. Suasana itu yang paling saya rindukan sebelum ini,” katanya.
Eda turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sepanjang dia berdepan ujian hidup.
“Sokongan mereka sangat bermakna. Itu yang memberi kekuatan untuk saya terus bangkit dan meneruskan kerjaya dalam seni lagu-lagu dialek Kelantan,” katanya.
Eda bertekad membuka lembaran baharu, menjadikan pengalaman pahit sebagai titik kebangkitan untuk terus melangkah lebih kuat dalam industri seni tanah air.
Pada 6 Ogos 2025, Eda Ezrin, suami bersama empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat, Thailand.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam.- UTUSAN











