HSA 2026 sasar peluang perniagaan RM1.5b - Utusan Malaysia

HSA 2026 sasar peluang perniagaan RM1.5b

HANIFAH Hajar Taib ketika berucap pada Majlis Pelancaran Awal HSA 2026 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak Kesihatan Asia (HSA) 2026 yang bakal berlangsung pada Mei ini dijangka menjadi pemangkin utama ekonomi penjagaan kesihatan serantau dengan sasaran menjana peluang komersial sehingga RM1.5 bilion.

Platform perniagaan baharu itu dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 22 Mei 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menghimpunkan pemain industri bagi menyokong penyelesaian kesihatan yang lebih bersepadu dan lestari merentasi Asia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hajjah Hanifah Hajar Taib berkata, penganjuran sidang kemuncak seperti HSA 2026 amat penting dalam menyediakan ruang perbincangan mengenai inovasi, pelaburan dan teknologi baharu yang bakal membentuk masa depan sektor tersebut.

“Visi Kementerian Kesihatan adalah jelas untuk memastikan Malaysia yang lebih sihat melalui sistem yang saksama dan mampan. Platform seperti ini memupuk kerjasama strategik yang penting dalam merealisasikan Agenda Nasional Malaysia Sihat,” katanya dalam kenyataan. 

Dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia dengan Green Wellness Malaysia sebagai penganjur bersama, HSA 2026 turut menggabungkan SEACare dan International Wellness Expo (IWE). 

Langkah ini mencerminkan peralihan trend serantau ke arah penjagaan pencegahan dan kesejahteraan menyeluruh.

Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo berkata, HSA 2026 bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan teknologi kesihatan digital, diagnostik berpandukan AI dan kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh.

“HSA 2026 adalah pemangkin bagi kerjasama, pelaburan dan kemajuan nyata merentasi ekonomi penjagaan kesihatan Asia Tenggara. Kami mahu memacu kerjasama yang mengubah visi menjadi tindakan,” katanya. 

Selain persidangan peringkat tinggi, acara tiga hari itu akan menyediakan sesi Pemadanan Perniagaan (Business Matching) bagi membantu syarikat mempercepatkan capaian pasaran dan pengedaran produk di rantau ASEAN.

Sidang kemuncak ini dijangka menarik kira-kira 15,000 pengunjung perdagangan serta menyelaraskan 250 mesyuarat perniagaan-ke-perniagaan bersasar, meliputi pelbagai segmen termasuk peranti perubatan, infrastruktur hospital dan automasi. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN