Hishammuddin diharap kembali bersama UMNO - Utusan Malaysia

Hishammuddin diharap kembali bersama UMNO

HISHAMMUDDIN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selain Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diharap kembali aktif bersama UMNO bagi memperkukuhkan lagi parti.

Sebelum ini, Khairy secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.

Kesediaan bekas Ketua Pemuda UMNO itu disambut baik kepemimpinan pelbagai peringkat.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah membuka ruang seluas-luasnya kepada bekas pemimpin atau ahli untuk kembali semula tanpa syarat.

“Apabila Presiden sudah buka ruang seluas-luasnya tanpa syarat (kembali menyertai UMNO), saya pun pelik ada orang kata minta maaf terlebih dahulu, tidak perlulah.

“Saya harap pemimpin se­perti Khairy, Hishammuddin dan lain-lain kembalilah se­mula. Kita semua kawan-kawan. Tidak perlu rasa ego dan sebagainya, orang sudah bagi peluang dan ruang kepada kita (sertai semula UMNO),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menerusi audio siar Keluar Sekejap, Khairy berkata, kenya­taan Ahmad Zahid yang membuka pintu kepada bekas ahli untuk kembali tanpa syarat dilihat sebagai satu perkembangan positif.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaras proses ber­kenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian mengikut Perlembagaan UMNO.

Ahmad Zahid juga berharap usaha itu dipermudahkan dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjua­ngan demi agama, bangsa dan tanah air, selain memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat serta negara.

Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian Hishammuddin dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjong Karang dan 26 ahli UMNO Pahang turut dipecat.

Sebelum ini, Hishammuddin tidak membuat rayuan berhubung penggantungan keah­liannya dengan alasan yakin dirinya tidak akan diadili sebaiknya serta enggan menggadaikan prinsip dipegang selama ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN