'Hentikan operasi atau tutup terus kilang proses e-waste haram'

‘Hentikan operasi atau tutup terus kilang proses e-waste haram’

TIMBALAN Pengerusi Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, Shandrsegar (gambar kecil) menggesa pihak berkuasa bertindak lebih tegas termasuk menghentikan serta-merta atau menutup terus operasi kilang yang dikesan memproses sisa elektronik atau e-waste secara haram di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Aktivis Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mahu pihak berkuasa bertindak lebih tegas termasuk menghentikan serta-merta atau menutup terus operasi kilang yang dikesan memproses sisa elektronik atau e-waste secara haram di seluruh negara ketika ini.

Timbalan Pengerusinya, Shandrsegar berkata, langkah drastik itu perlu diambil selepas banyak laporan diterima berhubung sindiket tersebut yang rata-ratanya dikatakan berselindung di sebalik perniagaan kitar semula.

“Isu ini sebenarnya mula mendapat perhatian yang meluas susulan beberapa pendedahan yang tular di media sosial serta laporan berita yang dibuat baru-baru ini.

“Dalam hal ini, sememangnya diakui bahawa kerjasama antara rakan media dengan pihak berkuasa menjadi kunci utama yang mendedahkan aktiviti-aktiviti haram seperti ini.

“Sehubungan itu, kami menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap pengoperasian kilang-kilang haram ini yang dilihat semakin berleluasa selain memastikan bahawa si pelakunya dikenakan hukuman yang berat sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Shandrsegar memberitahu, berdasarkan pemerhatian pihaknya, prestasi kerja pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam isu terbabit wajar dipuji kerana mereka berusaha untuk menangani kegiatan tersebut di lokasi seliaan.

“Mereka (AKPS) juga berjaya memastikan bahawa tidak ada satu pun kontena atau barang e-waste haram yang bolos melalui kawasan seliaan mereka dan kecekapan mereka dalam menahan kontena-kontena yang bermasalah ini harus dipuji,” kata beliau.

Tambahnya, walaupun sudah banyak tangkapan telah dibuat berhubung isu berkenaan, namun, beliau berpendapat, langkah penting yang perlu diambil ketika ini ialah dengan membanteras kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.

Justeru katanya, tindakan penguatkuasaan yang tegas seperti penutupan mana-mana premis atau kilang haram yang terlibat sewajarnya dilakukan tanpa sebarang kompromi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN