Henti bertelingkah, bersama hadapi kesan konflik - Utusan Malaysia

Henti bertelingkah, bersama hadapi kesan konflik

SAARANI Mohamad (tengah) merasmikan Projek Rumah Perakku Kota Malim Prima di Tanjung Malim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Semua pihak perlu menghentikan pertelingkahan politik ketika negara menghadapi ketidaktentuan geopolitik global kesan konflik Asia Barat.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sehubungan itu menyambut baik inisiatif Perdana Menteri untuk memanggil Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin utama parti politik bagi mendapatkan pandangan menyeluruh berhubung kedudukan ekonomi negara berikutan konflik Asia Barat.

Menurutnya, langkah tersebut tepat pada masanya memandangkan kesan konflik di Asia Barat bukan sahaja memberi impak kepada negara tetap dirasai hingga ke peringkat negeri.

“Sekarang Kabinet bermesyuarat dua kali seminggu. Hari Rabu mesyuarat biasa, manakala hari Jumaat mesyuarat khusus bersama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau perkembangan semasa kesan ekonomi terhadap negara.

“Sudah pasti jika negara terkesan, lambat-laun negeri juga akan menerima tempias. Sebab itu saya mengalu-alukan jemputan Perdana Menteri kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri supaya kita dapat memberi pandangan dari sudut negeri.

“Saya percaya pertemuan ini bertujuan mendapatkan pandangan semua pihak. Bukan sahaja ketua-ketua kerajaan, malah parti-parti politik juga akan dijemput bersama,” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Projek Perumahan Rumah Perakku Kota Malim Prima di Tanjung Malim hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin.

Menurutnya, konflik Asia Barat yang meruncing perlu dihadapi secara kolektif tanpa mengira perbezaan politik.

“Ini bukan masa untuk saling tuding-menuding antara satu sama lain. Siapa mentadbir pun, dia akan hadapi masalah yang sama. Jadi kita kena hadapinya bersama-sama,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN