MELAKA: Suasana Hari Raya Aidilfitri tahun ini bakal lebih meriah buat penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong apabila Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) diubah menjadi studio fotografi.
Idea itu dicetuskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem bagi memberi peluang kepada warga setempat merakam kenangan bersama keluarga dalam suasana studio profesional dengan bayaran berpatutan.
Katanya, ‘Studio Raya Shoot 2026’ itu akan diadakan selama dua hari iaitu pada hari raya pertama dan kedua dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.
“Kadang-kadang bukan semua keluarga berpeluang ke studio profesional untuk ambil gambar raya kerana kadar yang ditetapkan terlalu mahal. Jadi saya fikir kenapa tidak kita bawa studio itu sendiri ke Japerun supaya semua orang boleh merakam kenangan bersama keluarga.
“Prinsip kita mudah, tidak kira seseorang itu kaya atau miskin, yang penting setiap rumah ada gambar raya bersama keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Kelmarin, Mohd. Noor Helmy meraikan para pengamal media Melaka pada majlis moreh di sebuah restoran di Bukit Piatu di sini.
Beliau berkata, Japerun Duyong menyediakan tiga pakej fotografi serendah RM79 termasuk bingkai serta menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, konsep program itu juga cukup santai kerana orang ramai hanya perlu hadir secara datang terus (walk-in) tanpa perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
“Tahun lalu saya buat studio ini secara kecil-kecilan dan sambutannya sangat menggalakkan apabila lebih 100 orang datang. Jadi tahun ini kita teruskan supaya lebih ramai boleh sertai.
“Kita bukan sasarkan keuntungan. Tujuan utama adalah untuk meriahkan suasana hari raya dan beri peluang kepada keluarga di Duyong bergambar bersama keluarga.
“Inilah kenangan yang kadang-kadang bila kita tengok semula bertahun-tahun kemudian, ia membawa kembali memori indah bersama keluarga,” katanya. – UTUSAN










