LARUT: Kedudukan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen bergantung kepada sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang dan bukan ditentukan oleh mana-mana parti secara bersendirian.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peranan tersebut memerlukan kerjasama erat semua wakil rakyat dalam blok pembangkang bagi memastikan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut beliau, sekiranya majoriti ahli Parlimen pembangkang tidak lagi mahukan beliau memegang jawatan itu, beliau bersedia akur dengan keputusan tersebut.
“Menjadi ketua dalam Parlimen sebagai pembangkang ini memerlukan kerjasama daripada semua ahli-ahli Parlimen pembangkang.
“Jadi kalau ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak mahu saya lagi menjadi Ketua Pembangkang, saya ikut sahaja kerana itu adalah suara majoriti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Asnaf Parlimen Larut di Dewan Selama Inn di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Pas sedia mencalonkan wakil parti itu untuk mengisi jawatan Ketua Pembangkang sekiranya mendapat persetujuan ahli Parlimen pembangkang.
Menurut Hamzah, sesiapa sahaja daripada kalangan ahli Parlimen pembangkang boleh dipilih untuk memegang jawatan tersebut selagi mendapat sokongan dan penerimaan bersama dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.
Katanya, perkara paling penting ialah memastikan blok pembangkang terus bersatu dan memainkan peranan berkesan dalam Parlimen.
“Dia bukan datang daripada mana-mana parti. Asalkan dia merupakan ahli Parlimen pembangkang dan boleh diterima oleh semua ahli Parlimen pembangkang, maka dia boleh menjadi Ketua Pembangkang,” katanya. – UTUSAN










