KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan wujud perbincangan untuk mengambil alih Parti Keluarga Malaysia sebagai ‘rumah baharunya’ selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hamzah berkata, perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Sedang berbincang dengan mereka bagaimana jika kita ambil alih parti tersebut. (Ya) ada perbincangan. Ini semua melibatkan banyak perkara, jadi sebab itu kita sedang bincang. Bahagian teknikal termasuk soal perlembagaan,” katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen Larut itu dijangka mengambil alih sebuah parti politik lama antaranya Parti Berjasa Malaysia (Berjasa) dalam masa terdekat.
Beliau bersama 16 ahli Parlimen dan beberapa bekas pemimpin Bersatu yang dipecat dijangka menyertai parti berkenaan menerusi pengumuman rasmi yang bakal dibuat pada masa sesuai.
Bekas pimpinan tertinggi Bersatu, Yunus Nurdin berkata, rumah baharu itu merupakan parti politik lama yang bakal diambil alih Hamzah bagi membolehkannya menjadi pemimpin utama parti.
Namun, beliau tidak memperincikan butiran lebih lanjut parti tersebut.
Pada 20 Februari lalu, akhbar ini melaporkan, Hamzah dijangka menyertai parti politik lain atau rumah baharu dalam masa terdekat selepas dipecat daripada Bersatu.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain wakil rakyat terlibat, platform politik baharu itu bakal disertai ketua-ketua bahagian Bersatu yang juga sudahpun menyatakan sokongan terhadap Hamzah.
Sebelum ini, Hamzah sewaktu Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu tidak menolak tiga kemungkinan hala tuju politiknya selepas dipecat serta-merta oleh Bersatu kerana melanggar perlembagaan parti.
Tiga hala tuju itu adalah mengambil alih mana-mana parti, kembali ke pangkuan UMNO atau menyertai parti sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas. – UTUSAN










