IPOH: Persatuan India Muslim Perak (PRIM) menasihatkan penerima bantuan agar tidak menjual barangan sumbangan yang diberikan, sebaliknya memanfaatkannya untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat penerima dalam kalangan asnaf yang bertindak menjual semula barangan bantuan kepada warga asing.
Katanya, tindakan tersebut amat menyedihkan kerana barangan sumbangan itu dikumpul hasil usaha pelbagai pihak untuk meringankan beban golongan memerlukan.
“Tahun lepas kita dapat maklumat ada dua keluarga penerima bantuan, keluar sahaja dari pagar masjid terus jual kepada warga asing.
“Kita susah payah dapatkan barangan untuk asnaf, jadi kita sedih perkara ini berlaku. Hajat kita mahu beri bantuan untuk kegunaan hari raya, bukannya untuk dijual semula.
“Bila dapat tahu perkara ini, kita tidak akan pilih orang yang sama untuk bantuan seterusnya. Ini yang saya pesan kepada penerima,” katanya selepas menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Dewan Masjid Muhammadiah, di sini hari ini.
Menurut beliau, pemilihan penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, keluarga berpendapatan rendah (B40), saudara baharu dan orang kurang upaya (OKU) itu dibuat oleh PRIM.
Katanya, setiap penerima akan menerima barangan runcit bernilai RM200.
“Ini adalah program tahunan yang kita anjurkan sejak tahun 2008. Pada awalnya, kita beri kepada 10 keluarga sebelum meningkat kepada 20 keluarga sehingga hari ini kita beri kepada 130 keluarga.
“Insya-Allah program ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan pertambahan lebih ramai penerima,” katanya. – UTUSAN










