Gerakan yakin Ahmad Samsuri mudah diterima masyarakat - Utusan Malaysia

Gerakan yakin Ahmad Samsuri mudah diterima masyarakat

DOMINIC Lau Hoe Chai (tengah) menggaul yee sang bersama tetamu pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina parti Gerakan di Ipoh, Perak hari ini. - FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yakin latar belakang profesional Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memudahkan beliau diterima pelbagai lapisan masyarakat.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, partinya akan berusaha menonjolkan imej profesional Ahmad Samsuri yang disifatkannya bukan semata-mata seorang ustaz atau ulama.

“Setiap parti dan juga masyarakat mempunyai pandangan yang berbeza. Ini biasa kerana kita berada dalam masyarakat yang berbilang kaum.

“Kita mesti menonjolkan beliau sebagai seorang ahli akademik. Dia bukan ustaz, dia bukan ulama, beliau adalah profesional yang telah melanjutkan pelajaran ke luar negara. Pandangan dan pengalamannya memang berbeza,” katanya semasa berucap pada majlis Tahun Baharu Cina 2026 parti Gerakan di sini hari ini.

Pada minggu lalu, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dilantik sebagai Pengerusi PN menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan.

Semasa berucap dalam majlis yang dihadirinya, Dominic cuba meyakinkan lebih 200 tetamu yang hadir tentang kelebihan Ahmad Samsuri yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroangkasa dari Universiti Leeds, United Kingdom (UK).

Beliau juga berharap para pengundi tidak terburu-buru menilai Ahmad Samsuri, sebaliknya memberikan peluang kepada Menteri Besar Terengganu itu untuk menerajui PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang diramalkannya akan diadakan pada tahun ini.

Ketika ditanya sama ada Ahmad Samsuri merupakan ‘poster boy’ calon Perdana Menteri PN, Dominic berkata perkara tersebut belum diputuskan.

“Masih dalam peringkat perbincangan oleh PN. Memang jika dia sebagai Pengerusi PN, kemungkinan (calon Perdana Menteri) itu ada. Kemungkinan. Tetapi belum ada keputusan,” katanya.

Mengenai PRU-16 dan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, Dominic mahu PN mengambil langkah memperkenalkan calon lebih awal bagi memudahkan ahli akar umbi membuat persiapan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN