Gaya penyampaian dikritik, Elly Ariffin mahu perbaiki diri - Utusan Malaysia

Gaya penyampaian dikritik, Elly Ariffin mahu perbaiki diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyampai radio, Elly Ariffin mengakui menerima setiap teguran daripada pendengar dengan hati terbuka susulan gaya penyampaiannya ketika mengendalikan segmen ‘Morning Morning Suria’ yang dianggap kurang profesional oleh segelintir pihak.

Menurut Elly atau Nurul Elyana Kamalul Arifin, 36, dia melihat komen yang tular di aplikasi Threads sebagai sesuatu yang positif bagi memperbaiki dan meningkatkan mutu penyampaiannya.

“Saya tidak terasa hati langsung. Sejak awal sebelum menceburi dunia radio dan televisyen lagi, saya sudah menetapkan dalam fikiran untuk bersedia menerima apa sahaja kritikan atau teguran.

“Saya cuba melihat semuanya dari sudut positif dan menjadikannya sebagai ruang untuk memperbaiki diri. Saya tidak mahu bersikap ego atau cepat melenting kerana kadang-kadang kita sendiri tidak sedar kelemahan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Jom Kongsi Rezeki Bersama Anak Yatim yang berlangsung di Urban Park Hall, di sini.

Tambah Elly, dia membaca setiap komen yang menyifatkan dirinya biadab dan tidak profesional dengan tujuan memperbaiki diri tanpa membiarkan kata-kata warganet menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Saya membaca setiap komen dan menerima teguran tersebut. Jika tiada teguran, mungkin saya akan rasa syok sendiri.

“Kadang-kadang kita tidak tahu di mana silap dan apa yang perlu diperbaiki. Jadi apabila ada yang menegur, saya anggap ia sebagai panduan untuk memperbaiki diri. Setiap hari adalah proses pembelajaran,” katanya.

Menurut Elly, teguran yang diterima itu juga menjadi peringatan untuknya meningkatkan tahap profesionalisme ketika bersiaran.

“Saya akan ucap terima kasih atas setiap nasihat atau teguran dan mengambilnya dari sudut positif supaya saya dapat terus memperbaiki diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Elly mengakui hubungan rapat dengan rakan penyampai, Fad dan Ajak yang sudah lama dikenali menyebabkan gaya perbualan mereka di konti kadangkala kedengaran terlalu bersahaja.

“Kami sudah berbincang mengenai perkara ini dan saya juga cuba mempraktikkannya bersama Fad dan Ajak.

“Saya faham sebagai seorang perempuan, mungkin tidak manis jika saya tidak menggunakan panggilan seperti ‘saya’ dan ‘awak’.

“Walaupun Fad dan Ajak merupakan kawan saya, itu bukan alasan. Saya perlu kekal profesional kerana saya bukan hanya bercakap dengan rakan di konti, tetapi juga dengan semua pendengar,” katanya.

Jelasnya, isu yang timbul itu dianggap sebagai pengajaran untuk dirinya memperbaiki mutu penyampaian pada masa akan datang.

“Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai satu iktibar dan akan cuba memperbaikinya supaya dapat memuaskan hati para pendengar,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Elly hadir sebagai pengacara selain membantu penganjur, Muhamad Izzat Samadi dengan memberikan beberapa nasihat bagi memastikan program berjalan lancar.

“Saya hadir sebagai pengacara, tetapi pada masa sama membantu memberi sedikit panduan kepada penganjur kerana ini merupakan kali pertama mereka menganjurkan program seperti ini.

“Tujuan utama adalah untuk berkongsi rezeki bersama orang ramai, khususnya anak-anak yatim,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai 50 anak yatim dari YPK Serendah menerima sumbangan Aidilfitri.

Program berkenaan turut menyediakan jamuan berbuka puasa serta diserikan dengan pelbagai aktiviti Ramadan termasuk zikir, persembahan nasyid dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN