SUNGAI PETANI: Seorang lagi anak kepada pasangan suami isteri yang maut dibunuh di rumah mereka di Kampung Belau, Merbok di sini gagal menghubungi bapa dan ibu tirinya, sejak Isnin lalu.
Adik ipar si mati, Anuar Idris, 54, berkata, anak saudaranya ada menghubungi untuk meminta pertolongan kerana sudah dua hari tidak menerima khabar daripada ibu bapanya.
“Sebaik menerima panggilan telefon daripada anak saudara lebih kurang pukul 8 malam kelmarin, saya bergegas ke rumah mereka yang tidak jauh dari rumah saya sambil ditemani beberapa rakan sekampung.
“Kami mencari sekeliling rumah dan sewaktu meninjau melalui tingkap di bahagian ruang tamu saya melihat sofa dipenuhi darah dan pada masa sama nampak dengan jelas, kesan titisan darah dari ruang tamu ke bahagian dapur, selain dua gulungan karpet turut dibasahi darah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Zikri Abdul Rahman, 65, dan isterinya, Suraya Man, 53, dipercayai dibunuh anak lelaki mereka dengan badan dipotong kepada beberapa bahagian sebelum digulung dengan karpet.
Anuar berkata, dia kemudian memanggil suspek yang dilihat berada di atas rumah, namun tiada jawapan diterima.
“Bimbang sesuatu yang buruk dan demi keselamatan kami, saya menghubungi polis dan sebaik empat anggota datang mereka memecah pintu bahagian atas rumah yang dikunci dari dalam,” katanya.
Anuar berkata, selepas pintu dibuka dia melihat pemuda itu dalam keadaan terlentang dan tidak bergerak dengan kesan kelar di bahagian leher.
“Saya kemudian diminta membuat pengecaman dan nampak dengan jelas mayat abang dan kakak ipar yang tidak sempurna. Sebaik berjaya menenangkan diri, saya hubungi anak saudara memaklumkan keadaan yang berlaku di rumah itu,” katanya. – UTUSAN











