PUTRAJAYA: Perkembangan geopolitik, ekonomi dan teknologi global yang semakin tidak menentu menimbulkan persoalan penting bagaimana negara-negara ASEAN harus bertindak dalam menghadapi perubahan itu dengan jelas serta penuh keyakinan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keadaan global ketika ini menyaksikan ketegangan geopolitik yang terus membentuk semula hubungan antarabangsa dalam era persaingan kuasa.
Menurutnya, pada masa sama sistem ekonomi dunia turut menyesuaikan diri dengan pelbagai tekanan baharu, manakala perkembangan teknologi pesat sedang mengubah struktur masyarakat pada kadar yang sukar dijangka sebelum ini.
“Kita bertemu pada saat persekitaran global menjadi semakin tidak menentu. Ketegangan geopolitik terus membentuk semula hubungan antarabangsa dalam era persaingan kuasa.
“Sistem ekonomi pula sedang menyesuaikan diri dengan tekanan baharu, manakala perubahan teknologi yang pesat mengubah masyarakat pada kadar yang sukar dijangka sebelum ini,” katanya ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani: Strategies for Malaysia and ASEAN in an Era of Global Instability yang dikendalikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku moderator.
Forum berkenaan menampilkan Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDSN), Profesor Jeffrey Sachs sebagai panel utama.
Jelasnya, pandangan Sachs penting dalam membincangkan isu berkaitan pembangunan mampan, pembasmian kemiskinan, tadbir urus ekonomi global serta kerjasama antarabangsa.
Beliau berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pandangan tokoh berkenaan juga memainkan peranan penting dalam meneliti kekuatan geopolitik dan ekonomi yang kompleks yang membentuk dunia hari ini termasuk perkembangan di Asia Barat serta implikasinya terhadap kestabilan global, pembangunan dan keamanan. – UTUSAN










