Falsafah Kontinum Jurisprudens Watan merungkai sekularisme

Falsafah Kontinum Jurisprudens Watan merungkai sekularisme

ISLAM bukan sekadar agama dalam pengertian Barat yang sempit, tetapi Islam adalah Al-Din, iaitu satu cara hidup syumul merangkumi setiap inci hal ehwal duniawi dan ukhurawi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kancah pemikiran moden yang kian mencabar, dunia hari ini seolah-olah terperangkap dalam satu pertarungan epistemologi yang amat hebat antara tuntutan wahyu yang abadi dan kehendak mutlak akal manusia yang sering kali melampaui batas fitrahnya.

Apabila kita meneliti krisis falsafah pemikiran, sistem perundangan, ketidakstabilan tadbir urus, serta kekeliruan nilai moral yang melanda peradaban hari ini, kita akan mendapati bahawa punca utamanya berakar daripada satu ideologi yang telah lama mencengkam dan memanipulasi cara manusia berfikir, iaitu sekularisme.

Bagi menjernihkan kekeliruan yang kian berselubung ini, Jurisprudens Watan menawarkan satu jalan keluar yang fundamental melalui Falsafah Kontinum atau The Continuous Path. Falsafah ini bertindak sebagai instrumen intelektual untuk merungkai kepalsuan doktrin sekularisme yang cuba memisahkan Tuhan daripada kehidupan awam, sekali gus meletakkan kembali asas pemikiran, falsafah, dan pensejarahan manusia ke tempat yang benar.

Sejarah manusia sebenarnya tidak bermula dalam kekosongan, kegelapan, atau dalam keadaan tanpa bimbingan Tuhan; sebaliknya, ia bermula dengan anutan agama yang satu sejak manusia pertama, Nabi Adam AS, diturunkan ke bumi ini.

Dalam perjalanan sejarah yang sangat panjang, keperluan manusia memang berubah mengikuti peredaran zaman dan kepelbagaian tempat, namun Allah SWT tidak pernah membiarkan manusia meraba-raba dalam kegelapan tanpa kompas yang jelas. Allah SWT telah menurunkan empat buah kitab  serta 100 atau 110 suhuf untuk membimbing manusia menguruskan kehidupan mereka merentasi zaman.

Hal ini membuktikan bahwa sejak azali, tidak pernah ada jurang atau pemisahan antara urusan ketuhanan dengan urusan keduniaan. Setiap fasa kemajuan manusia selalu berada dalam pengawasan bimbingan wahyu untuk memastikan manusia tidak tergelincir daripada tujuan asal penciptaannya. Kebenaran itu adalah sebuah rangkaian yang berterusan atau kontinuum, bukan serpihan yang terpisah sesuai dengan keperluan zaman.

Namun, sekularisme hadir dengan dakwaan yang sangat berani tetapi sebenarnya sangat pincang, dengan mendakwa bahwa urusan dunia, khususnya hal ehwal awam, politik, dan perundangan, harus dipisahkan sepenuhnya daripada ajaran agama. Penganut sekularisme cuba membangunkan sebuah tembok pemisah yang tebal antara apa yang dianggap sebagai urusan peribadi dan urusan negara, yang akhirnya melahirkan struktur kehidupan yang tidak seimbang.

Dari sudut pandang Jurisprudens Watan, dakwaan pemisahan ini adalah satu mitos yang sangat berbahaya. Islam bukan sekadar agama dalam pengertian Barat yang sempit, yang hanya terhad kepada ruang ibadat khusus, tetapi Islam adalah Al-Din, iaitu satu cara hidup syumul yang merangkumi setiap inci hal ehwal duniawi dan ukhurawi. Sebagai satu-satunya cara hidup yang diredai Allah SWT, Islam telah pun mengatur prinsip undang-undang awam dan diri manusia dengan sempurna.

Kita perlu sedar bahawa sifat Allah SWT itu adalah ar-Rahman dan ar-Rahim. Atas sifat ar-Rahman-Nya, Allah memberikan nikmat kehidupan kepada seluruh makhluk tanpa mengira sama ada mereka beriman atau tidak. Oksigen yang dihirup oleh seorang yang memperjuangkan doktrin sekularisme adalah sama sahaja dengan oksigen yang dihirup oleh seorang mukmin yang bertakwa.

Di sinilah letaknya kegagalan hujah sekularisme, kerana walaupun mereka cuba menafikan hubungan agama dalam dunia, mereka tidak akan sesekali mampu mengeluarkan dunia ini daripada genggaman kekuasaan Allah SWT. Pencetus doktrin sekularisme mungkin mendakwa mereka mencipta sistem tersendiri, tetapi pada hakikatnya, mereka tetap menggunakan sumber daya milik Allah SWT dan beroperasi dalam alam yang tertakluk kepada aturan-Nya yang mutlak.

Salah satu senjata utama pendukung sekularisme ialah penggunaan akal sebagai pengganti mutlak kepada wahyu. Mereka sering mendakwa bahawa kebaikan yang dicapai oleh tamadun moden hari ini adalah hasil daripada pembebasan akal daripada belenggu agama.

Jurisprudens Watan menyanggah dakwaan ini secara total kerana akal itu sendiri adalah ciptaan Allah SWT yang sangat mulia. Dalam Falsafah Kontinuum, akal dan wahyu tidak pernah berperang atau bertentangan. Selagi akal itu tidak dikuasai oleh hawa nafsu dan tidak digunakan sehingga melampaui batas yang ditetapkan oleh syariat, akal tersebut akan sentiasa berada pada orbit fitrahnya.

Apabila akal berada dalam orbit fitrah, ia secara semula jadi akan menemui kebaikan yang selari dengan ajaran agama Islam. Maka, doktrin sekularisme tidak berhak sama sekali mendakwa mana-mana kebaikan sebagai milik mereka hasil daripada penolakan terhadap agama. Sebaliknya, kebaikan hakiki yang mereka temui, seperti nilai keadilan, amanah, atau kemanusiaan, sebenarnya adalah pantulan daripada kebenaran agama yang sudah sedia ada tertanam dalam jiwa manusia. Kebenaran agama sudah pun mengatur apa yang baik buat manusia tanpa mengira anutan mereka, dan apa yang disebut sebagai kebaikan sekularisme sebenarnya kerana ia masih terikat dengan bimbingan wahyu.

Dalam menganalisis kedaulatan negara dan wilayah atau falsafah pemikiran, Jurisprudens Watan membezakan antara dua trajektori besar iaitu Kerangka Kontinuum dan Kerangka Dikotomi. Kerangka Kontinuum adalah jalan yang melihat wahyu sebagai kesinambungan fitrah yang tidak terputus, berpaut pada Surah al-Maidah ayat 48 yang menegaskan kedudukan al-Quran sebagai muhaimin, iaitu kayu ukur yang mengawal selia dan menguji setiap kepelbayaian syariat serta sistem ciptaan manusia.

Sebaliknya, Kerangka Dikotomi adalah wajah sebenar sekularisme yang terputus daripada akar wahyu, yang melahirkan sistem pincang kerana bersandarkan mutlak kepada logik akal yang terbatas dan sering kali dipengaruhi oleh kepentingan hawa nafsu yang sempit. Apabila manusia mendakwa mereka berdaulat sepenuhnya ke atas urusan dunia tanpa perlu tunduk kepada aturan Ilahi, mereka sebenarnya sedang meminggirkan hakikat langit yang dijunjung demi mengejar kepentingan bumi yang dipijak secara materialistik semata-mata. Penjernihan epistemologi ini menuntut kita untuk kembali kepada takrifan asli al-watan yang merangkumi keseluruhan aspek penciptaan dan alam semula jadi yang berpaksi kepada hukum Allah SWT atau Sunnatullah.

Falsafah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung adalah kunci utama kepada Jurisprudens Watan dalam konteks kenegaraan dan falsafah pemikiran. Ia menuntut kita menghormati realiti tempatan tanpa meminggirkan fitrah kejadian manusia yang memerlukan bimbingan Tuhan. Dalam perundangan Islam, prinsip asalnya adalah keharusan, yang bermakna Jurisprudens Watan bersifat sangat inklusif terhadap sebarang bentuk kemajuan atau sistem dari mana-mana penjuru dunia, asalkan ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam yang fundamental.

Ini adalah bukti bahawa Islam mengatur urusan dunia dengan penuh rahmah, sangat berbeza dengan sekularisme yang bersifat eksklusif dengan membuang peranan agama daripada ruang awam secara paksa. Bagi memastikan hujah falsafah ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tadbir urus yang praktikal, metodologi PoCFAM yang merangkumi Potensi, Cabaran, Kemudahan, Aulawiyyat, dan Maqasid diperkenalkan sebagai ejen penyaring.

Melalui Potensi, kita menilai kapasiti manusia sebagai khalifah; melalui Cabaran, kita mendepani serangan sekularisme; melalui Kemudahan dan Aulawiyyat, kita menyusun urusan duniawi agar sentiasa dalam lingkungan keharusan syariah; dan akhirnya melalui Maqasid, kita memastikan identiti watan dan kepatuhan Ilahi sentiasa menjadi matlamat akhir.

Aplikasi metodologi ini membolehkan kita memikirkan suatu falsafah atau mentafsir perlembagaan dan undang-undang negara bukan secara literal atau mengikut acuan sekularisme yang kaku, tetapi berdasarkan sejarah kewujudan dan struktur asasnya yang menjunjung kedaulatan Tuhan. Hal ini sangat penting agar kita tidak terperangkap dalam kerangka falsafah dan tafsiran undang-undang yang terasing daripada jiwa watan dan nilai murni yang membentuk sebuah negara.

Secara tuntasnya, Falsafah Kontinuum dalam Jurisprudens Watan adalah satu perjuangan epistemologi untuk mengembalikan manusia kepada fitrah penciptaannya yang asal. Ia menegaskan bahawa tidak ada satu inci pun ruang di atas muka bumi ini yang terlepas daripada aturan Allah SWT.

Sekularisme hanyalah satu tabir buatan manusia yang cuba menutup cahaya matahari, namun matahari tetap memancarkan energinya walaupun manusia cuba bersembunyi di sebalik tabir tersebut. Fiqh al-Watan hadir sebagai disiplin yang hidup untuk membina masa depan tamadun yang lebih berdaya tahan dan beretika, dengan mengakui kedaulatan watan yang berakar di bumi namun sentiasa berpaut pada tali kebenaran Ilahi yang abadi di langit. Kebaikan yang hakiki hanya akan dicapai apabila ia berpaksi kepada kebenaran agama, bukannya pada penafian terhadap-Nya.

Oleh itu, tugas kita sebagai pewaris peradaban adalah untuk memastikan setiap falsafah, inovasi, dasar awam, dan sistem perundangan yang kita bina mempunyai jiwa yang selari dengan tuntutan wahyu. Kita tidak seharusnya terpesona dengan label kemodenan yang ditawarkan oleh sekularisme jika ia membawa kepada pengosongan nilai ketuhanan dalam ruang awam apatah lagi peribadi. Kehebatan ilmuwan Islam silam seperti al-Khawarizmi atau Ibn Khaldun bukanlah kerana mereka memisahkan agama daripada sains dan sosiologi, tetapi kerana mereka melihat ilmu tersebut sebagai sebahagian daripada manifestasi kebesaran Allah SWT.

Inilah falsafah Kontinuum yang perlu kita suburkan kembali dalam arus perdana falsafah sarjana dan pemikiran negara. Dengan meletakkan agama sebagai paksi, akal manusia akan dipandu untuk mencapai kemuncak potensinya tanpa perlu melanggar sempadan fitrah. Akhirnya, pengukuhan Fiqh al-Watan menerusi analisis Jurisprudens Watan ini akan menjadi benteng paling ampuh dalam mendepani asakan ideologi asing yang cuba merobek jati diri watan kita, sekaligus memastikan kedaulatan negara kekal utuh dalam kerangka epistemologi tauhid yang diredai Allah SWT.

 

DATUK PROFESOR MADYA DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN ialah Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN