Express Powerr teroka pasaran Indonesia - Utusan Malaysia

Express Powerr teroka pasaran Indonesia

LIM Cheng Ten
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan sewaan penjana kuasa (generator), Express Powerr Solutions (M) Bhd. (Express Powerr) secara rasmi mengembangkan kehadiran serantaunya melalui penubuhan anak syarikat, PT. Express Power Energy di Indonesia.

Langkah strategik itu bertujuan memperluas jangkauan geografi syarikat serta memanfaatkan peluang dalam ekonomi terbesar di Asia Tenggara tersebut.

Anak syarikat baharu itu ditubuhkan pada 6 Mac lalu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Express Energy Solutions Sdn. Bhd., yang memegang 99 peratus kepentingan ekuiti dalam PT. Express Power Energy.

Pengarah Urusan Express Powerr, Lim Cheng Ten berkata, Indonesia mewakili pasaran yang besar dan berkembang bagi perkhidmatan sewaan penjana kuasa, didorong oleh pembangunan infrastruktur dan pengembangan industri yang pesat.

“Faktor-faktor ini mewujudkan permintaan mampan untuk penyelesaian bekalan kuasa yang fleksibel dan boleh dipercayai merentasi pelbagai aplikasi seperti tapak pembinaan serta operasi perindustrian.

“Penubuhan PT. Express Power Energy mencerminkan strategi kami untuk berkembang melampaui pasaran Malaysia dan mempelbagaikan pangkalan pelanggan serantau kami,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, anak syarikat di Indonesia itu akan memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan sewaan penjana kuasa serta penyelesaian berkaitan termasuk pembekalan papan agihan, panel penyinkronan penjana, transformer, suis gerak, bank beban dan kabel.

Melangkah ke hadapan, Express Powerr akan terus meneroka peluang untuk memperkukuh kehadiran serantau sambil membina kepakaran terasnya dalam bidang berkaitan.

Untuk rekod, Express Powerr telah disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 24 September 2025 di bawah nama saham XPB dan kod saham 0370. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN