PETALING JAYA: Syarikat infrastruktur digital dunia, Equinix, Inc. (Equinix) mengumumkan siri pelaburan global dalam pembangunan tenaga kerja bagi melahirkan generasi baharu bakat teknikal untuk industri infrastruktur digital.
Pengumuman yang dibuat sempena Hari Pusat Data Antarabangsa itu bertujuan memperluas akses kepada kerjaya teknikal berkualiti tinggi, sekali gus melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.
Ketua Pegawai Bakat Equinix, Brandi Galvin Morandi berkata, syarikat komited untuk membolehkan pembangunan bakat di peringkat awal dengan memberikan pendedahan dunia sebenar mengenai pusat data dan teknologi saling sambung.
“Kami bukan sekadar bersaing untuk mendapatkan bakat, sebaliknya kami sedang ‘mencipta’ bakat tersebut menerusi pengalaman pembelajaran praktikal. Ia adalah pelaburan penting bagi memastikan industri mempunyai tenaga kerja mahir untuk era inovasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
Tunjang utama pelaburan ini ialah pelancaran global Pathways to Tech, sebuah program bakat awal kerjaya yang membuka laluan inklusif ke dalam operasi pusat data untuk pelajar berumur 14 hingga 18 tahun.
Selepas fasa rintis selama dua tahun yang melibatkan hampir 2,000 pelajar, program ini kini diperluas ke semua lokasi Equinix di seluruh dunia termasuk di rantau Asia Pasifik.
Selain itu, Yayasan Equinix turut menjalin kerjasama dengan organisasi bukan untung global, Generation, bagi melancarkan koalisi latihan teknikal global yang pertama.
Program sulung ini akan bermula di Brazil pada Jun depan dengan sokongan rakan kongsi Cisco Systems, Inc., sebelum diperluas ke pasaran global lain sepanjang tahun 2026.
Equinix juga memperkenalkan Learning Labs di tiga pasaran utama iaitu Dallas, Paris dan Singapura.
Inisiatif ini direka untuk bakat awal kerjaya dengan latar belakang teknikal atau elektroteknikal bagi memberikan pengalaman praktikal dalam pengurusan infrastruktur pusat data, merangkumi sistem elektrik, penyejukan, kawalan iklim dan operasi fasiliti.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Operasi Global Equinix, Raouf Abdel berkata, pusat data adalah nadi kepada dunia digital dan kepakaran manusia merupakan tunjang yang memastikan nadi tersebut kekal kuat dan selamat.
“Pelaburan dalam modal insan adalah cara kami terus membina laluan ke masa hadapan, terutamanya apabila AI meningkatkan permintaan terhadap infrastruktur secara mendadak,” jelasnya. –UTUSAN











