Emma Maembong belanja 20 pasang baju raya untuk keluarga - Utusan Malaysia

Emma Maembong belanja 20 pasang baju raya untuk keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Emma Maembong, meneruskan tradisi menaja pakaian raya untuk seluruh ahli keluarganya setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 33, amalan tersebut dianggap sebagai satu bentuk sedekah, termasuk kepada ahli keluarga iparnya seperti penyanyi, Cat Farish.

“Kebiasaannya saya memang akan sediakan baju untuk semua sebab saya suka suasana berkumpul ramai-ramai.

“Mereka pula jenis yang ikut sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas mengenai jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan, pelakon drama Seadanya Kita itu mengakui tidak pernah mengira kos keseluruhan.

“Tak tahulah jumlahnya sebab saya tak pernah kira.

“Contohnya, saya beli sekitar 20 pasang baju, bergantung kepada harga yang mungkin mencecah ratusan ringgit setiap satu.

“Kadang-kadang kakak saya turut menghulurkan wang untuk membeli, tetapi kebiasaannya saya sudah terbiasa menguruskan semuanya.

“Saya selesa beli secara pakej untuk semua. Ada juga yang membayar semula, malah abang Cat Farish pun sudah faham dengan cara saya sejak menyertai keluarga kami,” katanya.

Dalam pada itu, Emma menegaskan, wang bukanlah keutamaan, sebaliknya kenangan bersama keluarga pada hari lebaran lebih bermakna.

“Bagi saya, duit boleh dicari, tetapi kenangan bersama keluarga tidak boleh diganti.

“Walaupun ada kalanya kita rasa kewangan tidak mencukupi, momen seperti ini hanya datang setahun sekali. Setiap gambar yang dirakam menunjukkan keluarga kita semakin berkembang.

“Bukanlah bermaksud saya kaya, tetapi insya-Allah kita boleh berusaha mencarinya. Peluang untuk berkumpul bersama itu yang sukar,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN