PETALING JAYA: Menjelang Aidilfitri, pelakon Erysha Emyra berdepan detik cemas apabila kediamannya dipecah masuk pada Rabu malam.
Menceritakan kejadian tersebut, Erysha berkata, semasa insiden berlaku tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa dan hanya dimaklumkan oleh adik-beradik menerusi satu panggilan video.
Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan kerugian besar apabila wang tunai yang diperuntukkan bagi persiapan Aidilfitri serta barangan kemas lesap dilarikan penjenayah.
“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana keluar berbuka puasa, namun adik-adik menelefon dalam keadaan menangis kerana mereka berada di dalam rumah ketika itu.
“Beberapa barangan hilang termasuk wang tunai dan barang kemas. Memandangkan kami bakal pulang ke kampung, sudah tentu ada wang tunai untuk persiapan Hari Raya, tetapi semuanya hilang,” katanya ketika ditemu bual stesen radio ERA, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, anak kepada pelakon Noniswara itu memaklumkan, suspek bertindak agresif dengan mengopak laci berkunci menggunakan senjata tajam.
“Wang tersebut disimpan dalam laci berkunci, namun suspek mengopak menggunakan pisau dan senjata itu ditinggalkan di atas meja,” ujarnya.
Bagaimanapun, pihak polis telah hadir ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut termasuk usaha mengesan cap jari suspek.
Walaupun reda dengan ujian yang menimpa, Erysha mengakui terkilan perkara begini terjadi memandangkan mereka telah lama mendiami kediaman tersebut tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
“Kes masih dalam siasatan. Sudah tentu kami berasa sedih, namun bersyukur semua selamat. Kejadian ini menjadi peringatan untuk lebih berwaspada pada masa hadapan.
“Selama bertahun-tahun tinggal di situ, tidak pernah berlaku perkara seperti ini. Kami akui ada sedikit kecuaian apabila tidak mengunci pintu di bahagian atas. Ini menjadi pengajaran agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan rumah,” katanya. -UTUSAN










