KUALA NERUS: Dua penyelam yang dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti menyelam di kawasan Pasir Akar Marine Park, Pulau Redang di sini, ditemukan selamat selepas kira-kira 12 jam terapung di laut malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, kedua-dua mangsa ditemukan oleh Bot Black Jack milik Redang Divers kira-kira pukul 9.45 malam ketika operasi pencarian dijalankan di kawasan berhampiran Pulau Yu.
Katanya, lokasi mangsa ditemukan adalah kira-kira 10 batu nautika dari tempat kejadian mereka dilaporkan hilang.
“Kedua-dua mangsa dipercayai berada dalam keadaan terapung di laut selama lebih kurang 12 jam sebelum ditemukan.
“Mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Redang untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Bahagian Kecemasan Hospital Besar Setiu bagi rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini. – UTUSAN











